Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    113 graduan PPB diraikan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Seramai 113 orang graduan daripada empat kursus yang ditawarkan di Pusat Pembangunan Belia (PPB) telah diraikan pada Majlis Konvokesyen PPB 2022 yang berlangsung di pusat berkenaan, hari ini.

    Daripada jumlah graduan yang diraikan, seramai 93 orang adalah daripada Program Pembangunan Belia sesi Januari 2020, 10 daripada Program Komuniti, Kursus Jahitan PPB-Aewon 2020, tujuh daripada Program Komuniti, Kursus Pemandu Jentera Berat ABDB PPB 2022 dan tiga daripada Program Komuniti, Kursus Penyembelihan dan Butchering Plus tahun 2022.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan sijil kepada para graduan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Dalam ucapannya, Yang Berhormat Dato berkata, pencapaian para graduan menunjukkan tiada yang mustahil dengan hasil kerja keras dan semangat mereka sendiri.

    Ia bukan perkara yang mudah untuk mempelajari kemahiran baharu tetapi atas titik peluh dan usaha masing-masing, setiap graduan telah menunjukkan kebolehan yang sebenar sebagai belia yang mampu menerajui landasan strategi dalam memacu pembangunan negara, ujar beliau.

    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyampaikan sijil kepada salah seorang graduan.
    Antara graduan yang menerima sijil mereka pada majlis tersebut.

    “Dalam masa yang sama, kita juga turut berbangga atas usaha berterusan PPB untuk memastikan latihan-latihan kemahiran yang ditawarkan adalah benar-benar market-driven bagi kursus jangka masa panjang mahupun kursus jangka pendek.

    “Ini termasuk inisiatif terkini iaitu kerjasama PPB dengan pihak swasta untuk memperkenalkan Program Komuniti, Kursus Atelier Fesyen dan Desain Apparel yang dimulakan tahun ini,” tambah beliau.

    Pada majlis tersebut, Anugerah Pelatih Cemerlang Sesi Januari 2020 diterima oleh Dayang Noorsaleenah binti Sarkawi @Suzihana daripada Kursus Asas Kemahiran Teknologi Kemahiran Fesyen.

    Anugerah berkenaan merupakan pengiktirafan dan penghargaan yang diberikan kepada pelatih yang telah memberikan keputusan cemerlang semasa mengikuti pengajian di PPB di samping memperlihatkan usaha-usaha yang membuahkan hasil yang membanggakan termasuk status outcome mereka setelah tamat menjalani pengajian.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda