Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    12 belum buat sijil halal

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 FEB – Sebanyak 12 buah premis makanan di daerah Belait, Tutong dan Temburong khususnya di kawasan bangunan perniagaan komersial dan sekitarnya telah didapati belum membuat permohonan Sijil Halal dan telah dikeluarkan notis untuk menghadapkan permohonan dalam tempoh enam bulan.

    Dapatan berkenaan adalah hasil daripada beberapa operasi secara berperingkat yang dijalankan oleh pegawai-pegawai penguat kuasa Bahagian Kawalan Makanan Halal (BKMH), Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) sepanjang Januari lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan KHEU, operasi berkenaan bertujuan untuk menguatkuasakan peruntukan Bab 4 (1) dan Bab 10 (1) (a), Perintah Sijil Halal dan Label Halal, 2005 mengenai keperluan memohon Sijil Halal atau Permit Halal Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) yang dikenakan ke atas pengusaha-pengusaha makanan di negara ini yang telah berkuat kuasa setelah undang-undang tersebut dipinda pada 2017.

    KHEU menegaskan kepada para pemilik restoran dan pengusaha perniagaan makanan bahawa permohonan untuk mendapatkan Sijil Halal atau Permit Halal bagi perniagaan makanan yang beroperasi di negara ini adalah mandatori.

    Oleh itu, Jabatan Hal Ehwal Syariah menyeru semua pengusaha makanan di negara ini yang belum mempunyai Sijil Halal atau Permit Halal untuk menghadapkan permohonan dengan segera.

    Kegagalan berbuat demikian boleh diambil tindakan undang-undang di bawah Bab 4 (5) dan Bab 10 (6), Perintah Sijil Halal dan Label Halal, 2005 (pindaan 2017) dengan hukuman denda sehingga $8,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

    Di samping itu, pemegang Sijil Halal dan Permit Halal juga diingatkan supaya sentiasa memastikan Sijil Halal dan Permit Halal masih sah dan hendaklah menghadapkan permohonan untuk pembaharuan sijil dalam tempoh tiga bulan sebelum tarikh mansuh.

    Bagi menjaga kemaslahatan masyarakat Islam di negara ini, KHEU melalui Jabatan Hal Ehwal Syariah akan sentiasa berusaha memastikan pelaksanaan pensijilan halal dan pengawalannya di negara ini berjalan selaras dengan kehendak undang-undang dan juga syarak.

    Bahagian penguatkuasaan undang-undang di bawah jabatan berkenaan akan sentiasa menjalankan operasi rondaan dan pemantauan dari semasa ke semasa untuk memastikan tiada sebarang pelanggaran berlaku khasnya dalam kalangan pemegang-pemegang Sijil Halal dan Permit Halal.

    Pegawai-pegawai penguat kuasa mengeluarkan notis kepada salah sebuah premis makanan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...