Oleh Daniel Lim
BELAIT, 23 JAN – Lebih 120 orang telah mempamerkan burung-burung mereka yang elegan dalam edisi kedua pertandingan kicauan burung yang dianjurkan oleh Majlis Perundingan Kampung STKRJ Lorong Tiga Selatan, Seria, kelmarin.
Pertandingan yang diadakan di kawasan lapang kampung berkenaan menyaksikan penyertaan dari dalam dan luar negara, yang membawa pelbagai jenis burung.
Bercakap kepada penganjur pertandingan tersebut, Awang Hassan bin Haji Masri menjelaskan pertandingan bertujuan untuk menghimpunkan orang-orang yang mempunyai minat sama dalam menghargai kicauan burung-burung.
“Sebelumnya, edisi pertama pertandingan menyaksikan lebih 80 peserta dan pada tahun ini, kami gembira untuk melihat lebih 120 orang hadir untuk bertanding dalam empat kategori,” ujarnya.
Kategori-kategori yang dipertandingkan adalah Murai Kepala Hitam, Murai Kepala Putih, Murai Kepala Hitam dan Putih, dan Kenari.
Setiap burung dalam kategori-kategori berkenaan dinilai oleh panel hakim berdasarkan melodi, suara dan kelantangan, dengan 15 burung teratas dalam setiap kategori menerima
hadiah bagi prestasinya.
“Kami berharap pertandingan ini akan menjadi satu lagi platform untuk menghargai kecantikan dan melodi semula jadi, serta memeriahkan lagi suasana kampung,” kata beliau.