BANDAR MEXICO, 6 DIS – Seramai 13 kanak-kanak di bawah umur 14 tahun meninggal dunia di tengah Mexico dan pihak berkuasa berkata kelmarin mereka mengesyaki ia berpunca daripada beg makanan IV yang tercemar.
Jabatan Kesihatan persekutuan mengarahkan doktor di seluruh negara itu untuk tidak menggunakan beg makanan IV yang dibuat oleh syarikat Productos Hospitalarios S.A de C.V., walaupun sumber sebenar jangkitan masih dalam siasatan.
Panggilan telefon ke nombor yang disenaraikan untuk syarikat dan e-mel yang meminta komen tidak dijawab.
Wabak itu menunjukkan Klebsiella oxytoca, bakteria yang tahan pelbagai ubat. Ia pertama kali dikesan November lalu di tiga buah hospital kerajaan dan sebuah hospital swasta di negeri Mexico, pinggir Bandar Mexico.
Jabatan itu berkata, kanak-kanak itu mati akibat jangkitan darah.

Setakat ini, darpada 20 kes, bakteria telah diketepikan dalam satu kes, empat disyaki sementara 15 lagi telah disahkan. Daripada 19 pesakit itu, 13 daripadanya telah meninggal dunia dan enam lagi sedang dirawat di hospital.
Ditanya mengenai kluster kes, Presiden Claudia Sheinbaum berkata kelmarin bahawa pegawai kesihatan memberitahunya tentang satu kes semalam namun ia terkawal.
Ia adalah tamparan hebat kepada sistem penjagaan kesihatan Mexico yang goyah dan kekurangan dana. Minggu lalu, pengarah institut kardiologi kebangsaan utama negara itu berkata hospital itu tidak mempunyai wang untuk membeli bekalan penting, dan menganggap situasi itu sebagai kritikal.
Pengarah hospital, Dr Jorge Gaspar, menulis surat dalaman yang mengatakan bahawa pemotongan bajet telah menjejaskan pemerolehan bekalan yang diperlukan untuk fungsi institusi.
Dalam surat awam pada hari berikutnya, beliau menjelaskan mesej awal itu bertujuan ditujukan kepada orang ‘dalaman’ dan memberi jaminan kepada orang ramai bahawa ‘mereka sedang berusaha untuk menyelesaikan situasi.’ – AP









