Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    13 maut, 50 cedera kemalangan kereta api di India

    NEW DELHI, 30 OKT – Kira-kira 13 orang terbunuh manakala 50 orang cedera apabila dua kereta api bertembung di tenggara India, kata pihak berkuasa hari ini, mengemas kini jumlah angka lapan sebelum ini.

    Kemalangan itu berlaku lewat kelmarin selepas salah satu kereta api penumpang melepasi tanda isyarat antara bandar Alamanda dan Kantakapalle di negeri Andhra Pradesh.

    Siasatan awal mendapati bahawa kesilapan manusia telah membawa kepada perlanggaran itu, kata kementerian kereta api dalam satu kenyataan.

    “Seramai 13 penumpang telah terbunuh manakala 50 yang lain cedera. Operasi menyelamat sedang dijalankan,” kata pegawai tinggi kerajaan tempatan, Nagalakshmi S kepada pemberita.

    Perdana Menteri India, Narendra Modi berkata beliau telah bercakap dengan menteri kereta api negara itu mengenai kemalangan yang malang itu.

    Pasukan penyelamat mengawal situasi selepas dua kereta api penumpang bertembung di daerah Vizianagaram, negeri Andhra Pradesh, India paada 29 Oktober. – AP

    “Pihak berkuasa menyediakan bantuan yang mungkin kepada mereka yang terjejas,” tulis Modi di media sosial.

    India mempunyai rangkaian kereta api terbesar di dunia dan telah mengalami beberapa bencana sejak beberapa tahun, yang paling teruk pada 1981 apabila sebuah kereta api tergelincir semasa melintasi jambatan di negeri Bihar, mengorbankan kira-kira 800 orang.

    Pada Jun, perlanggaran tiga kereta api telah meragut hampir 300 nyawa di negeri Odisha.

    Pada Ogos, sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh apabila sebuah kereta api yang diletakkan di selatan India terbakar ketika seorang penumpang cuba membuat teh.

    Dan awal bulan ini, empat orang terbunuh selepas kereta api ekspres tergelincir di Bihar. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...