Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JUN – Seramai 14 orang anak damit telah dilahirkan pada Hari Ulang Tahun (HUT) Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) ke-61 di seluruh negara, kelmarin.
Lapan anak damit telah dilahirkan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) di Bandar Seri Begawan manakala itu, enam lagi di Hospital Suri Seri Begawan (SSB), Kuala Belait.
Anak-anak damit berkenaan diraikan dengan menerima cenderahati sumbangan daripada ABDB, Badan Kebajikan Isteri-isteri ABDB (BAKTI), Koperasi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (KOWIRA) dan Royal Brunei Technical Services (RBTS).
Di Hospital RIPAS, penyampaian cenderahati telah disempurnakan oleh Datin Ummisyafinah binti Haji Zaini, isteri pemerintah ABDB, dengan ditemani oleh isteri ketua staf ABDB.
Sementara itu, di Hospital SSB pula cenderahati disampaikan oleh isteri pemerintah Angkatan Bersama ABDB, Hajah Azizah binti Haji Miramit.
Turut hadir pada majlis-majlis yang diadakan serentak tersebut ialah pegawai-pegawai ABDB, ketua-ketua pegawai eksekutif berserta kakitangan hospital-hospital, serta ahli-ahli Jawatankuasa Tadbir BAKTI.
