Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    14 ditahan dalam Operasi Lucky Ape

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 FEB – Seramai 14 individu warga tempatan, penduduk tetap dan warga asing yang berumur 18 hingga 61 tahun telah ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

    Tangkapan berkenaan dibuat semasa Operasi Lucky Ape yang dijalankan oleh Biro Kawalan Narkotik (BKN) pada 25 dan 26 Januari lalu yang menyasarkan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah jenis syabu dengan menumpukan Kampung Menunggol, Pulau Berambang dan Kampung Bolkiah.

    Menurut kenyataan daripada BKN, dalang utama sindiket berkenaan ialah seorang warga tempatan berumur 36 tahun yang dipercayai menggunakan golongan muda bagi menjalankan aktiviti pengedaran dadah dengan memberikan mereka peranan sebagai runner, penyimpanan dan pengambilan bekalan dadah daripada pihak pembekal.

    Dalang utama juga didapati bekerjasama dengan seorang pengedar dadah syabu iaitu seorang lelaki warga tempatan berumur 42 tahun yang pernah ditahan sebelum ini.

    Hasil operasi berkenaan, BKN telah merampas sebanyak 737.82 gram syabu dan alat-alat dipercayai digunakan bagi memproses dadah untuk diedarkan daripada salah seorang tangkapan yang berumur 18 tahun.

    ATAS & BAWAH: Antara barangan yang dirampas oleh pihak berkuasa.- GAMBAR SERAHAN BKN
    GAMBAR SERAHAN BKN

    Dadah syabu yang dirampas dianggarkan bernilai lebih $140,000 di pasaran tempatan dan boleh menampung sekurang-kurangnya 7,300 orang penagih dadah.

    Tangkapan tersebut akan turut disiasat di bawah Seksyen 3A, Akta Penyalahgunaan Dadah, Penggal 27 atas kesalahan memiliki dadah terkawal bagi tujuan mengedar, yang mana, jika sabit kesalahan dengan jumlah dadah yang dirampas, boleh membawa hukuman gantung sampai mati.

    Pada masa yang sama, operasi berkenaan juga telah merampas sebuah kenderaan dan wang tunai berjumlah $5,214, S$477 dan RM110 dipercayai hasil daripada aktiviti pengedaran dadah.

    Harta-harta rampasan berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 3, Perintah Mendapatkan Kembali Aset Jenayah (CARO), 2012.

    Dengan itu, BKN mengingatkan golongan muda untuk tidak terpedaya dengan taktik pengedar dadah yang menawarkan ganjaran lumayan dalam menjalankan kegiatan yang menyalahi undang-undang.

    BKN juga tidak akan teragak-agak bagi mengambil tindakan undang-undang ke atas penjenayah di mana jua mereka berada termasuk mereka yang mengambil kesempatan ke atas lokasi terpencil dalam menjalankan aktiviti jenayah dadah.

    Di kesempatan itu, BKN merakamkan ucapan penghargaan kepada agensi-agensi perisikan dan penguatkuasaan keselamatan atas bantuan dan kerjasama yang diberikan ke arah menjayakan operasi berkenaan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...