Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    142 terima sijil program pembangunan kepimpinan

    Oleh Mu’min Karim
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OKT – Seramai 142 orang pegawai kerajaan telah menerima sijil setelah berjaya mengikuti program-program pembangunan kepimpinan yang diadakan sekitar 2021 dan 2022 pada majlis berlangsung di Dewan Bankuet, Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan sijil kepada peserta program ialah Menteri di JPM, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof. Juga hadir ialah timbalan-timbalan menteri di JPM.

    Majlis penyampaian sijil tersebut adalah bagi pegawai kerajaan yang mengikuti Program Pembangunan Eksekutif Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan (EDPSGO) ke-29, Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Kerajaan Peringkat Pertengahan (EDPMMO) ke-31 dan ke-32 serta Program Eksekutif Muda (YEP) Kohort ke-5 dan ke-6 bagi Tahun Kewangan 2021/2022.

    Program-program pembangunan eksekutif yang dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam itu merupakan program flagship Civil Service Leadership Pipeline (CSLP) di bawah Rangka Kerja Perkhidmatan Awam bagi mendokong hasrat Wawasan Brunei 2035 melalui strategi pemba-ngunan institusi.

    Dalam ucapannya, Yang Berhormat Menteri di JPM menggariskan beberapa pendekatan yang perlu ada dalam mewujudkan sistem kerajaan yang efektif iaitu penjawat awam di semua peringkat perlu mempunyai kecekapan dan pemikiran yang dapat saling mendukung, membantu, menginovasi dalam mempertingkatkan kebolehan perkhidmatan awam.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi menyampaikan sijil kepada peserta yang telah mengikuti program-program pembangunan kepimpinan yang dianjurkan.
    Yang Berhormat Menteri di JPM bergambar ramai dengan peserta yang mengikuti program pembangunan kepimpinan tersebut.

    Dalam pada itu, jelas Yang Berhormat Pehin, terdapat tiga pendekatan untuk mencapainya iaitu mempertingkatkan kualiti perkhidmatan awam, memastikan akses kepada perkhidmatan awam dengan mengambil kira mindset dan fokus kepada citizen-centric serta memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam semua aspek perkhidmatan bagi meningkatkan integriti.

    “Selaku barisan pemimpin dalam perkhidmatan awam, kita perlu mengekalkan momentum dalam meneliti dan menilai setiap perkhidmatan dalam kerajaan, lebih-lebih lagi perkhidmatan berbentuk citizen-centric yang memerlukan pembaikan dan perubahan dasar yang berkaitan menjurus kepada peningkatan prestasi dan transformasi,” jelas Yang Berhormat Pehin.

    Sementara itu, Pemangku Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Dr Norfarizal bin Othman dalam ucapan alu-aluannya selaku pengerusi majlis menyatakan bahawa seramai 29 peserta telah menyertai Program EDPSGO ke-29; 27 orang mengikuti Program EDPMMO ke-31; 27 mengikuti Program EDPMMO ke-32; 31 peserta bagi Program YEP Kohort ke-5 dan 29 peserta telah mengikuti Program YEP Kohort ke-6.

    EDPSGO ke-29 dan EDPMMO ke-31 telah dikendalikan oleh Universiti Teknologi Brunei (UTB), EDPMMO ke-32 dikendalikan oleh Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) sementara itu, Institut Perkhidmatan Awam (IPA) telah mengendalikan YEP Kohort ke-5 dan ke-6.

    Melalui program tersebut, peserta mempelajari pengajian isu dan dasar semasa serta amalan terbaik dalam pengurusan dan pentadbiran perkhidmatan awam yang dipraktikkan secara global.

    Selain itu, peserta juga didedahkan secara praktikal melalui penempatan kerja, projek kemasyarakatan, lawatan sambil belajar dan sesi dialog bersama tokoh-tokoh pemimpin di Negara Brunei Darussalam.

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...