Thursday, February 27, 2025
30.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    149 pelajar PTEB mula sesi akademik

    Oleh Daniel Lim –

    BELAIT, 26 FEB – Seramai149 pelajar Tahun 12 baharu Pusat Tingkatan Enam Belait (PTEB) hadir pada Hari Kemasukan bagi kumpulan 2025/2026, di mana ibu bapa dan pelajar mendapat pemahaman yang lebih mendalam tentang apa yang diharapkan sepanjang pengajian di institusi itu.

    Acara dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan yang diketuai oleh pasukan koir sekolah, diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh salah seorang ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sekolah, Awang Mohd Nasrul Aniq Izzudin bin Mohd Khairul Azrin.

    Dalam ucapan, Pengetua PTEB, Chin Ai Fong mengalu-alukan kedatangan pelajar baharu ke sekolah berkenaan.

    “Selamat datang ke bab seterusnya dalam kehidupan akademik awda. Jalan di hadapan akan memberi cabaran kepada awda, memberi inspirasi dan membentuk masa depan awda yang belum dapat awda bayangkan. Saya menggalakkan awda untuk menerima perjalanan ini dengan keberanian, keazaman dan keghairahan untuk belajar,” kata beliau.

    Beliau menegaskan komitmen sekolah untuk menyokong usaha pelajar ketika mereka menangani cabaran akademik yang akan dihadapi mereka untuk dua tahun akan datang.

    Chin Ai Fong menyampaikan ucapan pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Pelajar melafazkan ikrar semasa Hari Kemasukan PTEB. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    “Saya menggesa awda untuk memanfaatkan setiap peluang sebaik mungkin, daripada mengambil bahagian secara aktif dalam perbincangan dan tidak teragak-agak untuk bertanya soalan di dalam bilik darjah; untuk meneroka pelbagai jenis aktiviti kokurikulum di dengan menyertai kelab, mengambil peranan kepimpinan dan membina persahabatan yang akan kekal seumur hidup,” tambahnya.

    Acara diteruskan dengan taklimat akademik oleh Timbalan Pengetua Akademik, Lee Siew Peng dan taklimat mengenai pentadbiran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) oleh Timbalan Pengetua Pentadbiran, Awang Mohd Shamry Haji Md Sani.

    Selain itu, turut dibincangkan topik mengenai hal ehwal dan kebajikan pelajar serta taklimat takaful, bertujuan memberikan pandangan tentang peraturan dan peluang untuk pelajar baharu.

    Chin Ai Fong, menyampaikan taklimat terakhir mengenai dasar Bring Your Own Device (BYOD) sekolah yang menggariskan kepentingan penggunaan teknologi selaras dengan Wawasan Brunei 2035 dan bagaimana pelajar harus menggunakan peranti mereka secara strategik untuk memanfaatkan pembelajaran mereka.

    Acara diakhiri dengan lafaz ikrar di mana pelajar baharu yang diketuai ahli MPP Tahun 13 berikrar untuk melakukan yang terbaik, bukan sahaja dari segi akademik, malah pembangunan sahsiah oleh falsafah kebangsaan Melayu Islam Beraja (MIB).

    Selepas acara Hari Kemasukan, pelajar baharu akan mengambil bahagian dalam program Orientasi selama tiga hari, di mana mereka mendapat pemahaman yang lebih baik dan membiasakan diri dengan persekitaran akademik dan komuniti baharu mereka.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda