Thursday, October 17, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    15 maut dalam serangan di Qana

    BEIRUT, 16 OKT – Serangan Israel telah membunuh kira-kira 15 orang di bandar Qana, selatan Lubnan, yang selama ini sering dikaitkan dengan kematian orang awam akibat serangan Israel dalam konflik sebelumnya dengan pejuang Hizbullah.

    Sementara itu, Israel menyerang pinggir bandar selatan Beirut awal hari ini buat kali pertama dalam hampir seminggu.

    Tiada komen segera daripada pihak tentera Israel mengenai serangan di Qana lewat kelmarin. Pertahanan Awam Lubnan menyatakan bahawa 15 mayat telah ditemui di bawah runtuhan bangunan dan usaha menyelamat masih dijalankan.

    Pada tahun 1996, serangan artileri Israel ke atas sebuah kawasan di perkarangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menempatkan ratusan orang yang dipindahkan di Qana telah membunuh kira-kira 100 orang awam dan mencederakan lebih ramai lagi, termasuk empat pasukan pengaman PBB.

    Semasa perang 2006, serangan Israel ke atas sebuah bangunan kediaman membunuh hampir puluhan orang, satu pertiga daripadanya kanak-kanak. Israel ketika itu menyatakan bahawa serangannya bertujuan menyerang pelancar roket pejuang Hizbullah yang terletak di belakang bangunan itu.

    Pasukan penyelamat di pusat perkhidmatan kecemasan bertindak balas apabila asap berkepul-kepul semasa serangan udara Israel di bandar Nabatiyeh, selatan Lubnan pada 16 Oktober. – AFP

    Serangan di selatan Beirut adalah yang pertama dalam tempoh enam hari, dan berlaku selepas Perdana Menteri sementara Lubnan, Najib Mikati berkata Amerika Syarikat memberi jaminan kepadanya bahawa Israel akan mengurangkan serangannya ke atas ibu negara itu. Tiada laporan segera mengenai jumlah korban.

    Pejuang Hizbullah mempunyai jumlah yang ramai di selatan Beirut, yang dikenali sebagai Dahiyeh. Kawasan itu juga merupakan kawasan kediaman dan komersial yang menempatkan sejumlah besar orang awam serta penduduk yang tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan pejuang itu.

    Tentera Israel menyatakan bahawa mereka menyasarkan sebuah gudang senjata yang terletak di bawah bangunan kediaman, tanpa memberikan bukti untuk menyokong dakwaan itu. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda