Monday, March 10, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    150,000 penduduk Papar terjejas akibat kemarau

    PAPAR, 15 MAC – Seramai 150,000 penduduk terjejas akibat bencana kemarau yang berlaku di Papar sehingga hari ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Papar, Mohd Fuad Abdullah.

    Beliau yang juga Pegawai Daerah Papar berkata, bencana itu juga mengakibatkan sebanyak 42 buah kampung, tujuh sekolah, tujuh taman perumahan dan tiga rumah ibadat dalam daerah itu turut terjejas.

    “Operasi menghantar bekalan air bersih dijalankan di empat kawasan mengikut jadual yang telah ditetapkan iaitu Sekolah Kebangsaan Pantai Manis, Kampung Timbangan, Palm Condominium dan Gereja Kampung Limbahau,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Katanya penghantaran bekalan air bersih melibatkan aset serta logistik daripada jabatan serta agensi terlibat antaranya tujuh buah lori tangki  berkapasiti 10,000 liter daripada Jabatan Air Negeri Sabah dan masing-masing sebuah lori Majlis Daerah Papar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Limbahau.

    DUN Kawang (tiga lori), Parlimen Papar (1), Jabatan Kerja Raya (2), DUN Pantai Manis (1) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah (sebuah lori rescue tender).

    Mohd Fuad berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar merekodkan sembilan kes kebakaran di daerah itu sejak 9 Mac lalu, terbaharu kebakaran lalang di kawasan seluas 0.81 hektar di Pengalat Besar pada 12:07 tengah hari tadi.

    Beliau berkata, kemarau di daerah ini turut menjejaskan sektor pertanian khususnya 93 orang pesawah padi di Mukim Limbahau dengan keluaasan 54.68 hektar dan Mukim Biau Padawan dengan keluasan 30.22 hektar.

    “Dalam aspek pencegahan kebakaran, Jabatan Penerangan Negeri Sabah khususnya Pejabat Penerangan Daerah melaksanakan  Info On Wheels (IOW)  di tiga lokasi iaitu Kampung Berundong, Kampung Bambangan dan Kampung Beringgis,” katanya. – Bernama

    Seorang penduduk Kinarut membakar sampah di tepi pantai Kinarut Papar pada 15 Mac. Daerah Papar diisytiharkan sebagai kawasan bencana kemarau susulan krisis bekalan air kritikal akibat cuaca panas sejak beberapa minggu di daerah tersebut. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda