Oleh Daniel Lim
BELAIT, 27 JULAI – Lebih daripada 160 pasukan dari seluruh negara baru-baru ini telah berkumpul di Dewan Pusat Insani, Seria bagi menyertai pertandingan e-sukan dalam perlawanan PUBG (Player Unknown’s Battle Grounds) Ampro (Amateur Professional) Series Season 0 bagi merebut hadiah berjumlah sehingga $25,000.
Hari pengesahan pasukan telah diadakan kelmarin bertujuan untuk menutup pendaftaran bagi pasukan e-sukan yang mengambil bahagian dari seluruh negara yang akan bertanding pada musim ini melalui kelayakan terbuka.
Hadir selaku tetamu kehormat merasmikan pertandingan dan menyaksikan perlawanan yang berlangsung untuk pertama kalinya ialah Pemangku Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dayang Mariam binti Ulat yang dialu-alukan oleh Presiden Persatuan e-Sukan Brunei (ESB), Abdul ‘Azhiim bin Haji Abdul Latif, Pengurus Besar AM Crit Esports, Howard Leong dan ahli-ahli penganjur persatuan.
Dayang Mariam dalam ucapan perasmian beliau, mengucapkan tahniah kerana berjaya menganjurkan pertandingan e-sukan yang merupakan inisiatif untuk mengembangkan lagi prestij e-sukan di negara ini.
Oleh itu, kejuaraan ini bertujuan untuk memberi peluang kepada pemain muda e-sukan dan baharu untuk menunjukkan kebolehan mereka sekali gus mengembangkan dan mengasah kemahiran mereka sebagai pemain e-sukan.
Beliau juga menekankan peningkatan minat e-sukan bukan sahaja di negara ini tetapi juga di rantau Asia Tenggara dan dunia dan bahawa Jabatan Belia dan Sukan dengan bangga menyokong usaha yang dilakukan oleh persatuan dan agensi yang terlibat untuk mengembangkan lagi sukan tersebut di negara ini.
“Saya harap kejohanan ini dapat memberi peluang kepada semua pemain dan menggunakan peluang ini untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan anda dalam permainan,” jelasnya.
Daripada 160 pasukan, hanya 32 pasukan teratas yang akan mara ke peringkat kelayakan seterusnya mendapat tempat untuk bertanding di liga kebangsaan pada 23 Ogos hingga 30 September.
Pada akhir acara, jawatankuasa penganjur acara turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang, Muhammad Hafiy Mirza bin Haji Mohammad Shafiee yang memenangi IESF World Championship Brunei Qualifiers bagi pertandingan Tekken 7 dan mengesahkan kedudukannya bagi kejohanan Tekken 7 akan datang.
Sementara itu, tiga pasukan teratas yang terdiri daripada pasukan wanita dalam perlawanan PUBG Mobile menyaksikan Pasukan Cherry Blossom meraih tempat pertama yang memenangi hadiah bernilai $500, tempat kedua disandang oleh Pasukan Ned Fury dengan hadiah kemenangan $300 dan Pasukan AG69 X Iris meraih tempat ketiga yang memenangi hadiah sebanyak $200.
Dalam perlawanan Among Us Tournament, Muhammad Thaqif Iyad muncul juara memenangi hadiah $250, sementara Mohd Firdausi Asyura bin Haji Muntil, Aiman Hakimi bin Shaheeman dan Abdul Qayyum bin Abdullah masing-masing meraih tempat kedua, ketiga dan keempat memenangi hadiah $120, $80 dan $50.