Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 FEB – Ekspo pendidikan Malaysia terbesar di Brunei, Yes2Malaysia Edisi ke-15 telah melabuhkan tirainya hari ini di Hotel Mulia, Anggerek Desa setelah tiga hari acara yang mendapat sambutan sangat menggalakkan.
Acara tersebut dianjurkan bersama oleh Rexpocentral (Malaysia), Education Malaysia Global Assist (EMGA), perkhidmatan MEG Educational (Brunei) dan AdXpert Marketing (Brunei).
Ia juga diadakan di bawah naungan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Brunei yang memberikan sokongan tambahan dari segi rangkaian dengan organisasi dan kementerian lain, menambah nilai kepada pempamer dan pengunjung.
Sebanyak 17 universiti menyertai ekspo berkenaan termasuk Asia Pacific University (APU), Taylor’s University, Management & Science University (MSU), Newcastle University of Medicine Malaysia (NUMed), University of Cyberjaya (UoC), Tunku Abdul Rahman University of Management & Technology (TAR UMT), University of Technology Sarawak (UTS), International Medical University (IMU), MAHSA University, Monash University Malaysia, Sunway University, Quest International University, HELP University, Le Cordon Bleu Malaysia, Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Kebangsaan Malaysia dan International Islamic University Malaysia.
Malaysia, yang terkenal sebagai pusat sistem pendidikan berkualiti tinggi, merupakan perintis di rantau ini yang mempunyai kampus cawangan universiti luar negara.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/02/P5-1g-paper-dan-web-Yes2Malaysia-AS_06022023.jpg)