Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan JBP
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 DIS – Seramai 17 orang pegawai dan kakitangan Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (PBMP) menyertai Kursus Marsyal Bomba selama tiga hari pada 5 hingga 7 Disember lalu.
Kursus yang dikendalikan oleh Bahagian Perhubungan Awam Cawangan Operasi A, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) itu berlangsung di PBMP dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran mengenai bahaya kebakaran, memupuk rasa bertanggungjawab serta menerapkan ilmu pengetahuan mengenai aspek keselamatan kebakaran.
Menurut JBP, semasa kursus berkenaan, para peserta didedahkan mengenai pentingnya keselamatan kebakaran secara teori dan praktikal.
Para peserta juga didedahkan mengenai sebab dan punca berlakunya kebakaran, tinda-kan yang perlu diambil apabila menghadapi insiden kebakaran di tempat kerja dengan membuat latihan pengosongan bangunan secara bersistematik, mengetahui tatacara penggunaan alat-alat pemadam api dan selimut api dengan cara yang betul serta tatacara menyelamatkan diri dari terperangkap dalam bangunan bila berlakunya kebakaran.
JBP dalam kenyataannya lagi menyatakan bahawa jabatan berkenaan ada menyediakan program-program seperti Kursus Life Saver 995 dan Taklimat Keselamatan Kebakaran bagi meningkatkan pengetahuan mengenai aspek-aspek keselamatan semasa menangani kecemasan serta mengetahui tatacara yang betul penggunaan alat pemadam api.





