LAHAD DATU, 23 MEI – Bantuan rawatan kesuburan permanian beradas (IUI) yang diperkenal kerajaan dalam Belanjawan 2025 mendapat sambutan menggalakkan dengan 1,700 permohonan diterima sejak pelancarannya di bawah program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAI) pada Februari lepas.
Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Abdul Shukur Abdullah berkata kemudahan rawatan itu adalah bagi membantu pasangan yang berdepan masalah mendapatkan zuriat.
“Kerajaan memperuntukkan RM6 juta bagi pelaksanaan bantuan berkenaan dengan sasaran 1,300 pasangan mendapat manfaat daripada program ini dan sejak pelancarannya, permintaan amat menggalakkan di seluruh negara.
“Setakat ini, terdapat 1,700 yang mendaftar, maknanya melebihi 400 untuk mendapatkan perkhidmatan percuma IUI, kita sedang membuat saringan untuk memastikan mereka yang layak sahaja mendapat bantuan ini, antara syarat ialah mesti berumur 35 tahun ke bawah,” katanya kepada Bernama di sini.
Abdul Shukur ditemui selepas Program Kesejahteraan Lelaki yang dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha Operasi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Farah Adura Hamidi, sempena Kembara Kasih KPWKM 2025, kelmarin.
Abdul Shukur juga berkata pihaknya menyasarkan kira-kira 30,000 lelaki mendapat advokasi melalui Program Kesejahteraan Lelaki yang julung kali diperkenal di Sabah, tahun ini. – Bernama
