Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    18 mayat ditemui dalam trak

    LOKORSKO, 19 FEB – Pihak berkuasa Bulgaria menemui 18 mayat pendatang asing tanpa izin (PATI), dipercayai mati akibat sesak nafas dalam trak yang cuba menyeludup mereka melalui negara itu.

    Menurut pegawai tempatan, trak itu membawa 52 PATI yang bersembunyi di bawah muatan kayu.

    Penduduk tempatan memaklumkan polis mengenai penemuan trak yang ditinggalkan itu berhampiran perkampungan Lokorsko, 20 kilometer ke timur laut ibu negara, Sofia.

    Timbalan Pendakwa Raya, Borislav Sarafov, memberitahu AFP bahawa penyiasat menemui mayat bergelimpangan di atas rumput di sekeliling kenderaan itu.

    “Menurut laporan awal, mereka meninggal dunia akibat asfiksia atau sesak nafas kerana terlalu ramai orang bersesak di tempat yang terlalu kecil.

    Tambah Sarafov, mangsa meninggal dunia 10 hingga 12 jam sebelum mayat mereka ditemui, dan penyeludup melarikan diri sebaik menyedari kematian itu.

    Empat warga Bulgaria ditahan sebagai suspek dalam kes itu manakala seramai 34 orang yang ditemui masih hidup dibawa ke hospital.

    “Mereka kesejukan dan basah kuyup, serta sudah pasti tidak makan selama beberapa hari,” kata Menteri Kesihatan, Asen Medjidiev, kepada wartawan sebelum ini.

    Berdasarkan maklumat awal, mereka yang menaiki trak itu berasal dari Afghanistan. – AFP

    Mayat 18 pendatang bergelimpangan berdekatan trak terbiar di kampung Lokorsho, berhampiran Sofia, Bulgaria pada 17 Februari 2023. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...