Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OKT – Program Satu Minggu Satu Juzuk (1M1J) anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Jabatan Pengajian Islam (JPI) berakhir dengan majlis khatam Al-Quran yang berlangsung di Dewan Serba guna Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Amal Ummi Kalthum Al-Islam, Kampung Mulaut.
Seramai 145 orang murid Darjah 2 hingga 6 yang berjaya mengkhatamkan bacaan 30 juzuk Al-Quran telah diraikan semasa majlis tersebut.
Hadir selaku tetamu khas ialah Ketua Bahagian Kurikulum, JPI, Haji Johar bin Haji Jumat yang turut mengetuai bacaan Surah Al-Fatihah bagi memulakan majlis.
Program 1M1J merupakan antara usaha berterusan pihak JPI dalam menyahut seruan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah,
Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk memantapkan lagi pembacaan Al-Quran murid-murid sekolah agama, di samping memupuk budaya membaca Al-Quran sebagai amalan harian.
Ia mula diperkenalkan di persekolahan agama pada 2016 dengan tujuan untuk melahirkan generasi Brunei yang celik Al-Quran.