HOUSTON, 15 OGOS – Dua angkasawan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Nora Al Matrooshi dan Mohammad Al Mulla mencapai kemajuan penting dalam latihan ketat mereka semasa kedua-duanya bersedia untuk misi angkasa lepas yang akan datang.
Dua angkasawan itu telah memulakan latihan spacewalk atau ‘berjalan di angkasa’ di Makmal Keapungan Neutral (NBL) NASA, yang terletak di Pusat Angkasa Johnson di Houston, Texas.
Fungsi utama NBL adalah untuk menyediakan angkasawan untuk misi angkasa lepas melakukan spacewalk yang juga dikenali sebagai Extravehicular Activity (EVA), lapor agensi berita Emirates (WAM).
Dengan dimensinya yang luas, iaitu 202 kaki panjang, 102 kaki lebar dan 40 kaki dalam, NBL membolehkan Al Matrooshi dan Al Mulla untuk menyempurnakan prosedur rumit yang diperlukan untuk penerokaan angkasa yang berjaya.
Malah persekitaran di NBL kekal sebagai simulasi yang paling tepat untuk berjalan di luar angkasa yang tersedia di Bumi. – Bernama