Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Dua kes import baharu jangkitan COVID-19 dicatatkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini sebanyak 311 orang.
Kes 310 dan 311 merupakan pasangan bapa dan anak lelaki warga Thailand, masing-masing berusia 59 dan 22 tahun yang tiba ke negara dari Singapura pada 12 Julai lalu. Kedua-duanya mengalami simptom demam panas dan sakit tekak pada 18 Julai, si anak mengalami batuk sekali-skala.
Menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Kesihatan di sini hari ini, pengesanan kontak mendapati lima kontak terdekat bagi kedua-dua kes ini dan dua kes ini dikesan semasa dalam kuarantin.
Keseluruhan pengendalian perjalanan semasa ketibaan dan pengasingan diri adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada.
Dalam pada itu, empat kes dilaporkan sembuh, menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh seramai 396 orang dan 39 kes lagi masih aktif namun dalam keadaan baik dalam rawatan di Pusat Pengasingan kebangsaan.
Kes terakhir jangkitan tempatan COVID-19 dilaporkan pada 6 Mei 2020 iaitu 442 hari yang lalu dan jumlah kes import sejak kes jangkitan tempatan terakhir dilaporkan ialah 170 kes.
Setakat 12 tengah hari ini, sejumlah 792 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori dan 22,2221 orang telah menamatkan pengasingan diri sejak Mac 2020.
Bagi kempen vaksinasi, sejumlah 120 orang menerima vaksina pada 21 Julai dan jumlah keseluruhan penerima vaksin sejak ia dilaksanakan pada 3 April lalu ialah 137,910 orang.
Jumlah penerima dua dos lengkap ialah 21,157 manakala mereka yang menerima dos pertama setakat 21 Julai jam 5 petang ialah seramai 116,753 orang. Daerah Brunei dan Muara mencatatkan bilang tertinggi penerima vaksin iaitu seramai 73,980 bagi dos pertama dan 15,616 bagi dos kedua, Daerah Belait berjumlah 15,461 bagi dos pertama dan 2,374 bagi dos kedua, Daerah Tutong berjumlah 17,236 bagi dos pertama dan 2,362 bagi dos kedua serta Daerah Temburong berjumlah 10,076 bagi dos pertama dan 805 bagi dos kedua.
Dengan pemvaksinan itu, sejumlah 25.7 peratus penduduk Negara Brunei Darussalam telah menerima sekurang-kurangnya 1 dos vaksin COVID-19. Manakala sejumlah 4.7 peratus penduduk telah menerima dua dos vaksin.
Bagi jumlah warga emas yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin pula ialah seramai 19,580 orang.
Sementara itu, dalam 24 jam yang lalu, sebanyak 281 sampel diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal sejak Januari 2020 kepada 149,420 ujian.