Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 DIS – Dua orang pelajar telah dianugerahkan Biasiswa Pendidikan Belia Negara Brunei Darussalam-Republik Singapura sesi akademik 2023/2024 untuk mengikuti pengajian peringkat menengah di Republik Singapura yang akan bermula pada Januari 2023.
Majlis penganugerahan dan menandatangani perjanjian bagi skim biasiswa berkenaan telah berlangsung di Dewan Auditorium, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, yang diadakan oleh Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pengurusan Biasiswa, pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh yang turut menyempurnakan penyampaian sijil penganugerahan kepada penerima-penerima biasiswa.
Dua orang pelajar berkenaan ialah Jaeden Chan Weijie dan Awang Adam Xavier bin Azlan @ Markus dari Sekolah St George.
Hadir menandatangani bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan, Jabatan Pengurusan Biasiswa, Awang Julaihi bin Mohamad @ Mohamat dan Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Heng Aik Yeow, bagi pihak Republik Singapura.







Manakala itu, para penerima biasiswa pula disertai oleh dua orang penjamin yang terdiri daripada ibu bapa, penjaga pelajar atau ahli keluarga terdekat.
Awang Julaihi dalam ucapan alu-aluannya selaku pengerusi majlis, antara lain menjelaskan bahawa program biasiswa berkenaan merupakan salah satu hasil susulan keberangkatan lawatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, ke Singapura pada awal Ogos lalu.
Menurutnya lagi, memorandum persefahaman (MoU) bagi program biasiswa tersebut pula telah dimeterai antara menteri pendidikan kedua-dua buah negara pada 24 Ogos lalu semasa keberangkatan negara Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke Republik Singapura.
Sejajar dengan objektif untuk memantapkan pertukaran dalam kalangan belia dan pemimpin masa depan bagi kedua-dua buah negara, beliau berkata, program biasiswa berkenaan merupakan salah satu bukti komitmen kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Republik
Singapura dalam usaha memperkukuhkan lagi ikatan erat yang telah terjalin antara kerajaan dan rakyat di kedua-dua buah negara.
“Sudah semestinya program biasiswa ini menjadi satu peristiwa yang penting dalam usaha meningkatkan hubungan kerjasama yang sedia ada terutamanya dalam bidang pendidikan antara kedua-dua buah negara.
“Meskipun ia bukanlah kali pertama bagi kerajaan Negara Brunei Darussalam untuk menghantar pelajar menyambung pelajaran mereka di Singapura, program biasiswa yang baru ditubuhkan ini
adalah antara yang pertama kalinya dibiayai bersama oleh kedua-dua buah kerajaan di samping memberikan pertukaran dua hala antara pelajar menerusi program tersebut,” jelas beliau.
Pada masa yang sama beliau turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada jabatan-jabatan di Kementerian Pendidikan yang terlibat dalam proses pemilihan dan penyediaan bagi majlis berkenaan.
Ucapan penghargaan yang sama turut disampaikan kepada Kementerian Pendidikan Singapura yang banyak membantu dalam menjayakan program berkenaan.
Sementara itu, salah seorang penerima biasiswa semasa ditemui, Jaedan Chan Weijie mengongsikan perasaannya apabila terpilih menjadi salah seorang penerima biasiswa berkenaan.
“Saya berasa teruja untuk mengambil peluang ini di mana saya dapat menimba pengalaman di luar negara yang sudah semestinya banyak perkara akan dapat saya pelajari. Pergi ke Singapura merupakan peluang yang baik bagi diri saya.
“Sebelumnya saya cuba melayari Internet untuk mengetahui tentang sistem pendidikan di sana, namun apabila saya berada di sana nanti saya akan dapat mengalami secara langsung dan fizikal mengenainya,” jelasnya.
Awang Adam Xavier turut menzahirkan perasaan teruja-nya apabila terpilih bagi men-dapatkan biasiswa berkenaan namun pada masa yang sama berasa sedikit sedih kerana terpaksa berada jauh daripada keluarganya.
Beliau turut berharap agar dapat berjumpa dengan lebih ramai kawan baharu semasa melanjutkan pelajaran di Singapura nanti.

