Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 APRIL – Dua buah syarikat dikompaun oleh Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi) atas kesalahan di bawah Peraturan 12, Peraturan Kawalan Bangunan (Iklan, Papan Iklan dan Papan Tanda) 2016.
Menurut kenyataan ABCi hari ini, sebuah syarikat pengiklanan didenda $1,000 kerana memaparkan papan iklan di kawasan Lebuh Raya Seria By-Pass, manakala sebuah lagi didenda $200 kerana memaparkan papan tanda perniagaan tanpa kebenaran di Kompleks Bangunan Abdul Razak, Unit 8, Tingkat 1, Block H, Kampung Pengkalan Gadong.
Kedua-dua syarikat diberikan tempoh 14 hari untuk menjelaskan denda kompaun berkenaan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk memastikan syarikat pengiklanan yang dilantik mempunyai pendaftaran yang sah.
Selain itu, mana-mana papan tanda perniagaan / papan-papan iklan yang dipaparkan di luar kawasan premis perniagaan hendaklah mendapatkan kebenaran mengikut Peraturan Kawalan Bangunan (Iklan, Papan Iklan dan Papan Tanda) 2016.
