Friday, October 18, 2024
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    20 sertai bengkel pemeriksaan payudara

    Oleh: Nurdiyanah R.  

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Sekumpulan pelajar perubatan Tahun Ketiga dari Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB IHS), Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah menjayakan Bengkel Pemeriksaan Payudara Sendiri bertempat di bangunan utama PAPRSB IHS, baru-baru ini.

    Sebagai sebahagian daripada inisiatif kumpulan yang dikenali CancerCatcher.bn, para pelajar terdiri daripada Awang Mohammad Azim Daniel bin Bahrin, Dayang Nurhidayatul binti Awang Azman, Bryan Wong Xiu Yong, Dayang Nurul Hidayatul Syafiqah binti Muhammad Ali Firdaus, Dayang Nurbatrisyia binti Haji Abdul Manan, Dayang Auni Basyeerah binti Mohamad Rizal dan Dayang Siti Farahiyah Teo binti Muhammad Zakwan Teo berhasrat untuk meningkatkan kesedaran tentang kanser payudara dan memperkasakan golongan peserta dengan pengetahuan dan kemahiran untuk menjalankan pemeriksaan payudara sendiri.

    Bengkel berkenaan telah dihadiri oleh 20 orang peserta wanita, yang terlibat dalam sesi bermaklumat dalam sama-sama mengetahui kepentingan pengesanan awal dan teknik yang betul untuk melakukan pemeriksaan payudara sendiri yang dipimpin oleh ahli kumpulan tersebut.

    Semasa bengkel berkenaan, para peserta bukan sahaja berpeluang menimba pengetahuan bagaimana untuk mengenal pasti keabnormalan bahkan juga tentang kepentingan pemeriksaan biasa dalam meningkatkan kesihatan payudara. Bengkel turut diisikan dengan ceramah pendidikan ringkas mengenai kanser payudara diikuti dengan panduan komprehensif tentang teknik pemeriksaan payudara sendiri.

    Dengan membahagikan para peserta kepada beberapa kumpulan kecil, mereka berpeluang untuk menjalani latihan praktikal dan pemeriksaan pada mannequin yang direka khas. Pendekatan interaktif ini membenarkan peserta untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam persekitaran yang menyokong dan bekerjasama, memastikan mereka beroleh keyakinan untuk melakukan pemeriksaan payudara sendiri dengan berkesan.

    Bengkel berkenaan diakhiri dengan sesi soal jawab interaktif tentang kesihatan payudara. Melalui penganjuran bengkel ini, diharap agar dapat membuka lebih banyak kesedaran dan usaha pada masa hadapan dalam sama-sama memastikan masyarakat sentiasa peka mengenai kesihatan payudara.

     Atas & Bawah: Latihan praktikal yang dijalankan dalam bengkel berkenaan. 

    Antara peserta yang menghadiri bengkel berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN PAPRSB HIS, UBD

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda