Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 APRIL – Dalam kemeriahan bulan Syawal ini, seramai 200 orang anak yatim, orang kurang upaya, warga emas, ibu tunggal dan saudara baharu telah diraikan pada majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diselajurkan dengan penyampaian sumbangan, hari ini.
Pemangku Ketua Kampung Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kawasan II Kampung Mentiri, Haji Nizam bin Haji Julaihi hadir bagi sama-sama memeriahkan majlis yang diadakan di sebuah restoran di Kampung Mentiri.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh pemilik dan Pengarah Urusan Restoran D. Mas Jaffre, Pengiran Haji Mohammad Jaafar bin Pengiran Damit; Pengarah Urusan Perusahaan D. Mas Jaffre Sdn Bhd, Saibudden Mohd Jameel dan Haji Nizam.
Saibudden menjelaskan, majlis tersebut dihasratkan untuk berkongsi kegembiraan bersama para penerima dalam menyambut hari kemenangan umat Islam pada tahun ini.
“Majlis ini merupakan salah satu aktiviti kemasyarakatan syarikat berkenaan dalam sama-sama membantu golongan yang memerlukan dan berkeperluan di kawasan berkenaan.
“Dengan adanya majlis ini, usaha murni yang dilaksanakan akan dapat memberi kegembiraan kepada semua penerima di kala semua umat Islam di negara ini sama-sama menikmati kemeriahan Sambutan Hari Raya Aidilfitri,” jelasnya.




