Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MAC – Menurut statistik terkini di Bahagian Pendaftaran Syarikat dan Nama Perniagaan (ROCBN) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, sebanyak 20,147 belia telah menceburi bidang keusahawanan sebagai pemilik perniagaan ataupun rakan kongsi.
“Bagaimanapun, statistik itu tidak termasuk perniagaan yang tidak berdaftar dan perniagaan tidak formal melalui media sosial seperti Facebook atau Instagram serta di kedai-kedai kiub,” kongsi Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah (gambar) semasa menjawab soalan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim mengenai jumlah belia yang menceburi bidang keusahawanan.
Semasa menjawab pertanyaan mengenai kategori perniagaan yang diceburi oleh para belia pula, Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa kebanyakannya terlibat dalam perniagaan runcit atau borong serta makanan dan minuman.
Namun, terdapat juga belia terlibat dalam pengarah-pengarah syarikat dalam sektor pembinaan, perniagaan borong dan runcit serta pembaikan kenderaan bermotor termasuk shareholders dalam syarikat-syarikat sektor pembinaan, penyewaan, pajakan serta makanan dan minuman.
Menyentuh soalan kedua Yang Berhormat Pehin mengenai bantuan yang dihulurkan oleh kementerian dan agensi-agensi kerajaan yang lain kepada belia-belia yang ingin berdikari dalam perniagaan, Yang Berhormat Dato mengongsikan bahawa terdapat banyak program dan inisiatif telah ditawarkan kepada mereka.


Umpamanya seperti, program Excelerator Booth Camp yang diperkenalkan menerusi Darussalam Enterprise (DARe), merupakan satu program pembangunan bagi membantu perniagaan di peringkat awal untuk berkembang dengan memanfaatkan teknologi dan meningkatkan pelaburan dan membina modal perniagaan yang inovatif.
Selain itu, katanya, platform DARe LINKS yang membentuk portal perniagaan turut menawarkan peluang pembekalan barangan perkhidmatan tempatan untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan syarikat-syarikat besar di negara ini.
Manakala itu, platform di bawah iCentre turut menyediakan ruang inkubasi serta kemudahan Co-Working bagi menggalakkan pencetusan idea dan strategi perniagaan baru khusus daripada kalangan pemula.
Brunei Inovation Lab juga satu platform yang ditubuhkan dengan kerjasama DARe, BSP dan Datastream Digital Sdn Bhd (DST) untuk memangkin perkembangan ekosistem inovasi negara yang tidak hanya terhad kepada teknologi maklumat dan komunikasi sahaja.
Akan tetapi ia juga merupakan inovasi terhadap perkembangan teknologi secara keseluruhan dan pembangunan kebolehan teknikal bagi tenaga kerja dan usaha anak tempatan, tambahan kita juga mempunyai Pusat Inkubasi Tenaga, satu inisiatif kerjasama antara Jabatan Tenaga, Jabatan Perdana Menteri dan DARe untuk menyediakan sebuah program inkubasi, yang menawarkan program latihan yang bersesuaian serta maklumat tawaran tender yang akan datang.
Selain daripada itu, pihak DARe jua telah membantu menjana pelaburan sejumlah $4.31 juta daripada beberapa angel investor tempatan dan venture capital serantau melalui program Micro Bootcamp dan Accelerate Bootcamp untuk membantu start-up mendapatkan model perniagaan
Untuk maklumat juga, bermula pada 16 hingga 19 Mac ini, pihak DARe dan BEDB akan mengadakan Festival PMKS di Bridex, Jerudong khususnya untuk membantu PMKS untuk mempromosi produk dan perkhidmatan masing-masing, di samping mendapatkan informasi proses yang berkaitan perniagaan yang ditawarkan oleh 24 agensi kerajaan dan bukan kerajaan.
Mengenai soalan ketiga berkaitan jumlah perniagaan tempatan terutamanya bumiputera yang telah berjaya diluluskan pinjaman mereka oleh Bank Usahawan dan bantuan yang telah diberikan oleh bank tersebut dalam meningkatkan kemahiran PMKS, Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa setakat ini, Bank Usahawan telah mengeluarkan pembiayaan sekitar $23 juta kepada 515 PMKS.
Daripada jumlah tersebut, seramai 453 peniaga atau hampir 90 peratus adalah terdiri daripada peniaga bumiputera.
Selain pembiayaan kewangan, Bank Usahawan juga memberi nasihat dan bimbingan kepada PMKS terutamanya mengenai perkara-perkara asas perniagaan dan keusahawanan ataupun Business and Entrepreneur Basics and Fundamentals yang perlu ada atau diketahui PMKS atau pengusaha-pengusaha tersebut.
Bank Usahawan telah dan akan terus bekerjasama dengan pihak-pihak seperti DARe dan agensi-agensi yang berkaitan.
Antara inisiatif yang dilaksanakan seperti menawarkan grant scheme kepada PMKS. Bank itu juga mendapatkan rujukan pelanggan daripada pihak DARe dan lain-lain inisiatif.

