Oleh AK Zaki Kasharan
Pelbagai detik-detik penting dan bersejarah telah berlaku di sepanjang tahun 2021 termasuklah yang berlaku pada bulan November dan Disember yang lepas.
Sorotan peristiwa bulan November
Pada 2 November yang lalu, Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi telah mengambil tindakan terhadap seorang pemandu trak kargo dengan kran atas kesalahan lalu lintas jalan raya, yang tular di media sosial memunggah sebuah kenderaan lain jenis tipper truck.
Kenyataan menyatakan bahawa JPD telah memanggil pemandu yang terlibat iaitu Ujang Baihaqi dan hasil soal siasat mendapati pemandu itu telah melanggar Peraturan-peraturan Lalu Lintas Jalan Raya, Penggal 68 di bawah Seksyen 22 (C) iaitu kenderaan yang tidak sesuai dari segi struktur digunakan bagi tujuan lain dan boleh menyebabkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.
Pada 8 November 2021 kira-kira 5,000 orang pelajar menerima suntikan vaksin mereka di bawah Program Vaksinasi Kebangsaan (PVK) bagi pelajar berumur 12 hingga 17 tahun yang telah bermula secara serentak di keempat-empat buah daerah.
PVK itu melibatkan seramai 38,201 orang pelajar di sekolah-sekolah dan institusi-institusi pendidikan di bawah kawalan Kementerian Pendidikan, Kemen-terian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan sekolah-sekolah swasta termasuk sekolah-sekolah antarabangsa. Pelaksanaan program berkenaan adalah sebagai kerjasama Kementerian Pendidikan dengan Kementerian Kesihatan bagi sama-sama mempertingkatkan usaha dalam membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini.
Semasa bulan November ini juga, berlaku hujan lebat telah menyebabkan beberapa buah kawasan rendah di Daerah Belait di landa banjir iaitu 11 buah kawasan Mukim Sukang, tujuh buah tempat di kawasan Mukim Bukit Sawat dan sebanyak empat buah tempat di Mukim Labi menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP).
Berikutan dengan tercetusnya penularan gelombang kedua wabak COVID-19 di negara ini yang berlaku sejak awal bulan Ogos 2021, kesemua masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat seluruh negara telah ditutup bagi membendung penularan jangkitan.
Walau bagaimanapun pada 19 November 2021 di mana negara telah beralih kepada Fasa Peralihan, maka masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat seluruh negara telah dibuka semula bagi menunaikan sembahyang fardu Jumaat dan sembahyang fardu lima waktu bermula pada hari berkenaan.
Antara detik penting lainnya yang berlaku pada bulan November 2021 ialah apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Presiden Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Xi Jinping mempengerusikan bersama sidang kemuncak khas bagi memperingati ulang tahun ke-30 hubungan dialog ASEAN-China yang telah berlangsung secara maya pada 22 November.
Bagi meraikan ulang tahun itu, para pemimpin ASEAN-China telah memfokuskan perbincangan mengenai peningkatan dan pengukuhan kerjasama bagi masa hadapan. Hubungan dialog ASEAN-China bermula pada tahun 1991 dan seterusnya, hubungan di antara ASEAN dan China dinaik taraf kepada perkongsian strategik pada 2003 manakala pada tahun 2018 pula, para pemimpin telah meluluskan Visi Perkongsian Strategik 2030 yang bertujuan untuk memajukan perkongsian strategik ASEAN-China dan kerjasama rapat dengan lebih lanjut.
Pada tarikh yang sama, satu serbuan dilakukan di sebuah rumah persendirian di Kampung Belimbing, Subok oleh para pegawai penguat kuasa Bahagian Kawalan Makanan Halal (BKMH), berhubung aduan aktiviti penyembelihan yang mencurigakan.
Semasa operasi dijalankan pada jam 5:58 pagi, para pegawai BKMH telah menemukan 13 ekor ayam yang sudah siap disembelih dan disimpan dalam tiga bekas. Siasatan awal mendapati ayam-ayam tersebut hendak diagihkan kepada orang ramai, manakala aktiviti tersebut juga didapati tidak memiliki lesen membekal, sijil halal, sijil penyembelihan dan tanda halal yang sah.
Sorotan peristiwa bulan Disember
Bulan Disember 2021 turut mencatatkan beberapa detik bersejarah di mana antaranya Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pada 2 Disember telah berkenan berangkat bagi menghadiri Majlis Tamat Latihan Kursus All Arms Commando (AACC) dan Penyampaian Beret Hijau’bagi Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen yang berlangsung di Commando Training Centre Royal Marines (CTCRM), Lympstone, Devon, United Kingdom.
Satu lagi detik bersejarah pada bulan ini berlaku pada 15 Disember 2021 di mana Fasa Endemik telah bermula dengan mengikut sukat-sukat atau garis panduan bagi Fasa Awal Endemik yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Pandu COVID-19.
Pada 18 Disember 2021, sebanyak 22 pintu medan selera musnah dalam kejadian kebakaran Food Court Fasa Pertama Jerudong Park. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), seramai 23 orang anggota bomba dari Balai Bomba Jerudong, Balai Bomba Pengkalan Batu dan bantuan dari Balai Bomba Rimba dikejarkan ke insiden kebakaran Food Court Fasa Pertama Jerudong Park yang diketuai oleh DSO Yusof Bin Bujang pada pukul 11:29 malam dan dihadiri oleh Pemangku Pegawai Pemerintah Operasi F, Penguasa Bomba dan Penyelamat, Sophian bin Haji Yussop.
Sementara itu, pada 23 Disember 2021, Kementerian Kesihatan Negara Brunei Darussalam telah mengesahkan pengesanan kes pertama varian Omicron di negara ini. Kes pertama varian Omicron tersebut telah tiba ke negara ini dari United Kingdom pada 17 Disember. Kes tersebut telah di kuarantin sebaik saja tiba ke negara ini dan kontak-kontak terdekatnya juga telah diarahkan untuk menjalani ujian makmal dan pengasingan diri.