Oleh Lyna Mohamad
Gambar oleh Bahyiah Bakir
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Sebanyak 10 ekor kerbau telah dikorbankan bagi majlis korban yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Takmir Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis Madang yang disertai 70 orang peserta.
Pengagihan daging-daging korban yang diadakan di masjid berkenaan, hari ini, telah disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong yang juga penasihat jawatankuasa takmir masjid berkenaan selaku tetamu kehormat.
Majlis menyaksikan tetamu kehormat mengagihkan daging korban kepada 21 orang penerima yang terdiri daripada anak-anak yatim dan asnaf dari Kampung Madang dan Kampung Manggis.
Ini diikuti dengan pengagihan kepada orang awam menerusi sistem pandu lalu yang disempurnakan bersama oleh tetamu kehormat, ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Penghulu Mukim Berakas B, Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon serta Pemangku Ketua Kampung Manggis, Awang Omar bin Alli.