Saturday, May 10, 2025
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    215 kes baharu COVID direkodkan

    Oleh Syahmi Hassan & Mu’min Karim

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 SEPT – Dalam masa satu minggu kebelakangan ini, jumlah kes COVID yang dilaporkan di Negara Brunei Darussalam telah menunjukkan sedikit peningkatan di mana kadar purata harian kes pada minggu lalu sebanyak 215 kes sehari, berbanding 179 kes sehari pada minggu sebelumnya.

    Walau bagaimanapun, trend jangkitan menunjukkan penularan kekal rendah, menurut Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media COVID-19 Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    “Sebanyak 46,728 keputusan ujian ART telah dimuat naik ke aplikasi BruHealth dalam masa satu minggu di mana 3.2 peratus daripadanya adalah keputusan ujian ART yang positif,” kongsi Yang Berhormat Dato.

    Menurut Yang Berhormat Dato lagi, tidak ada kes dalam kategori 5 yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Intensif (ICU) manakala tiga kes dalam kategori 4 iaitu memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.

    “Sehingga kelmarin, 18 September, kadar liputan vaksinasi COVID di negara ini kekal berada di tahap yang tinggi dengan 78.3 peratus penduduk telah mendapatkan dos ketiga vaksin dan 10.3 peratus telah mendapatkan dos keempat,” jelas beliau.

    Yang Berhormat Dato turut menyatakan sebanyak 215 kes baharu telah dilaporkan hari ini, iaitu 209 kes hasil ujian ART dan enam kes adalah hasil daripada 480 ujian makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam masa 24 jam yang lalu.

    Di hujung kenyataannya, beliau turut menyeru kepada orang ramai untuk meneruskan kerjasama semua dalam membantu pihak kerajaan memantau penularan wabak COVID dengan memuat naik keputusan ART masing-masing, sama ada positif atau negatif ke aplikasi BruHealth.

    “Semoga Negara Brunei Darussalam berserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada segala bencana dan wabak penyakit serta berada dalam perlindungan Allah SWT jua,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda