Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    23 filem bersaing untuk Golden Lion

    Sejumlah 23 filem akan bersaing untuk memenangi hadiah berprestij Golden Lion, di Festival Filem Venice, festival filem tertua di dunia.

    Pengarah edisi ke-80 Festival Filem Antarabangsa Venice, Alberto Barbera, berkata finalis termasuk filem fiksyen, dokumentari dan siri televisyen.

    Festival itu yang akan berlangsung dari 30 Ogos hingga 9 September di Venice Lido, membuka tirainya dengan tayangan filem Comandante arahan pengarah Itali, Edoardo De Angelis.

    Pesaing lain untuk Golden Lion termasuk The Killer, terbitan Netflix arahan penerbit filem Amerika Syarikat (AS), David Fincher, filem aksi Dogman arahan pengarah terkenal Perancis, Luc Besson, biopik komposer AS, Leonard Bernstein Maestro dan Origin oleh pengarah wanita Afrika Amerika Ava Duvernay, lapor Xinhua.

    Sebanyak 19 filem fiksyen dan dokumentari, dua siri televisyen dan sebuah filem pendek juga akan ditayangkan, termasuk komedi pengembaraan The Wonderful Story of Henry Sugar yang dibintangi Ralph Fiennes dan Benedict Cumberbatch, filem thriller Coup de Chance arahan Woody Allen dan Xue Bao (Snow Leopard) oleh penerbit filem Tibet Pema Tseden dari China.

    Sebanyak 30 karya lagi akan bersaing dalam kategori Horizons.

    Barisan juri antarabangsa untuk pertandingan Venice 80 tahun ini akan dipengerusikan oleh Damien Chazelle. – Bernama

    Damien Chazelle akan mempengerusikan pertandingan Venice 80 tahun ini. – SinarDaily
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda