Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    26 individu didakwa musnahkan hutan paya bakau di Bangladesh

    DHAKA, 11 JULAI – Polis Bangladesh mendakwa 26 individu kerana memusnahkan sebahagian besar hutan paya bakau yang melindungi negara itu daripada ancaman banjir akibat perubahan iklim, kata pegawai alam sekitar, hari ini.

    “Mereka telah memusnahkan sebahagian daripada ekosistem unik yang telah diisytiharkan sebagai Kawasan Kritikal Ekologi (ECA),” kata Timbalan Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Jamir Uddin kepada AFP.

    Uddin berkata kes itu adalah ‘salah satu kes alam sekitar terbesar’ yang pernah ditangani oleh agensi tersebut.

    Kesemua tertuduh didakwa membersihkan kira-kira 225 hektar hutan pantai Sonadia di tenggara, berhampiran sempadan Bangladesh dengan Myanmar, untuk dijadikan ladang ternakan udang dan garam komersial.

    “Mereka didakwa di bawah undang-undang alam sekitar negara dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun jika didapati bersalah,” kata Ketua Balai Polis Sonadia, Sukanta Chakrabarty kepada AFP.

    Akhbar harian terbesar Bangladesh, Prothom Alo, melaporkan sekurang-kurangnya 2.3 juta pokok telah ditebang untuk membersihkan kawasan bagi membina sekurang-kurangnya 45 ladang udang dan garam.

    Beberapa individu yang didakwa adalah pegawai daripada parti pemerintah Liga Awami, kata Chakrabarty.

    Pertuduhan telah difailkan terhadap lelaki berkenaan pada Selasa lalu. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda