SUTHERLAND SPRINGS, 6 Nov – Amerika Syarikat (AS) berdukacita hari ini selepas seorang lelaki bersenjata yang memakai ves kalis peluru melepaskan tembakan dengan menggunakan raifal pada satu perhimpunan di sebuah gereja bandar kecil Texas, yang mengorbankan 26 orang dan mencederakan 20 orang lagi dalam penembakan beramai-ramai terbaru di negara itu.
Lima minggu selepas penembakan paling teruk dalam sejarah moden AS, Presiden Donald Trump berkata negara menjalani kehidupan ‘dalam masa suram’ dan mengarahkan bendera dikibarkan setengah tiang di Rumah Putih dan bangunan-bangunan persekutuan selepas tragedi terbaru itu.
Mangsa-mangsa, yang berusia antara lima hingga 72 tahun telah ditembak mati di Gereja First Baptist di Sutherland Springs, sebuah masyarakat luar bandar yang dihuni oleh kira-kira 400 orang yang terletak 50 kilometer tenggara San Antonio.
Lelaki bersenjata itu yang dikenal pasti sebagai Devin Kelley, 26 tahun disifatkan oleh pihak berkuasa ‘lelaki muda berkulit putih’ yang ditemui mati dalam kenderaannya selepas didatangi oleh penduduk setempat.
Pasukan Angkatan Tentera Udara berkata Kelley pernah berkhidmat di sebuah pangkalan di New Mexico bermula tahun 2010 sebelum dihadapkan ke mahkamah tentera kerana didakwa menyerang isteri dan juga anaknya.

Dia telah dijatuhi hukuman penjara selama 12 bulan dan menerima perlepasan dengan ‘tingkah laku buruk’, jurucakap wanita pasukan angkatan tentera udara Ann Stefanek memberitahu AFP. Dia diberi perlepasan pada tahun 2014.
Dengan mengenakan pakaian serba hitam, dia melepaskan tembakan di luar gereja sebelum memasuki bangunan dan terus melepaskan tembakan, menurut Freeman Martin, pengarah serantau Jabatan Keselamatan Awam Texas.
“Ketika dia keluar dari gereja, seorang penduduk setempat merampas raifalnya dan mula bergelut dengan suspek. Raifal suspek terjatuh, yang mana raifal itu jenis Ruger AR dan kemudian melarikan diri dari gereja. Warga tempatan kami mengejar suspek pada ketika itu,” kata Martin lagi.
Penguat kuasa undang-undang kemudian menemui Kelley mati di dalam keretanya yang mengalami kemalangan di sempadan wilayah Guadalupe. Tidak jelas jika dia telah membunuh diri atau ditembak mati oleh penduduk itu yang telah mendatanginya.
Kejadian penembakan itu berlaku hanya lebih sebulan selepas seorang lelaki bersenjata di Las Vegas melepas tembakan dari bilik hotel yang dihalakan ke konsert luar, yang mengorbankan 58 orang dan mencederakan beratus-ratus lagi. Itu adalah pembunuhan beramai-ramai yang paling mengorbankan banyak jiwa dalam sejarah moden AS. – AFP