Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OKT – Seramai 26 pelajar dari Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Universiti Teknologi Brunei (UTB) bersama dua orang profesional yang menamatkan Program Sijil Antarabangsa Universiti Osaka – Sains Halal, Teknologi dan Inovasi (OUICP-HaSTI) telah diraikan pada majlis graduasi yang berlangsung secara maya, kelmarin.
Program yang dijalankan selama 10 bulan itu meliputi kuliah dalam talian dan sesi penempatan di Universiti Osaka, Jepun, selama dua bulan. Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad.
Dalam ucapan, Dr Haji Azman mengongsikan bahawa kolaborasi antara Universiti Osaka dan institusi pengajian tinggi di Negara Brunei Darussalam telah mencatat perkembangan yang memberangsangkan sejak ia mula dijalin pada 2017 dan kemajuan yang dicapai adalah di luar jangkaan.
Beliau turut mengingatkan semua institusi pengajian tinggi supaya menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa berlangsungnya Majlis Haflut Al-Takharruj UNISSA ke-12 pada Ogos lalu iaitu “Bagi Sektor Pertanian dan Produk Halal, penyelidikan diperlukan. Penyelidikan akan merangkumi kajian fizikal bahan sebenar, se-perti spesimen segar atau yang diawet. Ujian akan dijalankan di makmal yang melibatkan peralatan dan bahan kimia melalui analisis patuh disiplin dan piawaian yang diiktiraf”.
“Saya berharap agar kerjasama penyelidikan ini dapat memberi sumbangan ke arah memperkasa serta mengukuhkan industri pertanian dan halal di negara ini,” tekan Dr Haji Azman. Turut hadir ialah Naib Presiden Eksekutif Penglibatan Global, Universiti Osaka, Profesor Dr Genta Kawahara; Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle; Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman; dan Pemangku Rektor UNISSA, Dr Arman bin Haji Asmad.
Majlis tersebut dihoskan oleh Universiti Osaka, dengan kerjasama tiga buah institusi pengajian tinggi tempatan. Peserta program yang diraikan terdiri daripada tujuh pelajar UBD, 15 pelajar UNISSA dan empat pelajar UTB. Dalam satu kenyataan yang diterima, OUICP-HaSTI adalah sebuah program pendidikan di bawah inisiatif Kampus ASEAN Universiti Osaka dengan kerjasama rakan sejawatan mereka di negara-negara ASEAN.
Sehubungan itu, Universiti Osaka mengeluarkan sijil apabila para peserta berjaya menamatkan program dalam bidang tertentu dengan enam hingga lapan kredit. Secara amnya, OUICP-HaSTI ini ditawarkan kepada siswazah universiti dalam kalangan rakan sejawatan menerusi joint campus dan juga golongan profesional (bukan pelajar) yang telah menerima sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda. Di samping itu, majlis turut mengalu-alukan seramai 16 pelajar pengambilan baharu OUICP-HaSTI 2022 yang terdiri daripada empat orang pelajar UBD, lapan orang pelajar UNISSA, tiga orang pelajar UTB dan seorang profesional.



