Ahad, 23 November 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    26 terima derma Aidilfitri

    Oleh Ak Zaki Kasharan & Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 APRIL – Seramai 13 anak yatim dan 13 keluarga kurang berkemampuan menerima sumbangan derma sempena Hari Raya Aidilfitri pada majlis penutup tadarus Al-Quran bulan Ramadan ini anjuran ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Kampung Sungai Besar, kelmarin.

    Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Penaung AJK Takmir Masjid Kampung Sungai Besar.

    Yang Berhormat Pehin selaku tetamu kehormat terlebih dahulu menyertai majlis khatam Al-Quran selepas selesainya bacaan 30 juzuk bertadarus sejak awal bulan Ramadan yang disertai oleh ahli AJK takmir masjid tersebut, AJK Unit Muslimah, Unit Belia dan Beliawanis serta jemaah dalam kalangan penduduk kampung berkenaan.

    Majlis khatam dimulai dengan bacaan surah Al-Fatihah yang dikepalai oleh Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Amir Hisham bin Haji Masri disusuli dengan bacaan Sayyidul Istighfar beramai-ramai yang diketuai oleh Awang Firdaus bin Haji Mohd Hilmey seterusnya membaca ayat-ayat lazim bermula dari surah Ad-Dhuha sehingga An-Nas.

    Bacaan tahktim dan Doa Tahlil disempurnakan oleh Awang Mohd Firdaus bin Mohd Salleh sementara Doa Selamat dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Awang Muhammad Hazman bin Haji Mohd Khairol Azme.

    “Peningkatan jumlah peserta tadarus terutama kalangan belia dan beliawanis sangat membanggakan dan merupakan satu gambaran positif dalam memimpin mereka mencintai Al-Quran dan seterusnya berjinak-jinak untuk hadir ke masjid,” jelas Ketua Kampung Sungai Besar, Serdang dan Sungai Belukut, Leftenan Kol (B) Haji Awang Zaini bin Haji Awang Damit merangkap Setiausaha AJK Takmir Masjid Kampung Sungai Besar.

    Di akhir majlis, Yang Berhormat Pehin dan Datin menyertai AJK takmir masjid dan para jemaah berbuka puasa selepas menunaikan sembahyang fardu Maghrib berjemaah.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama semasa hadir pada majlis khatam Al-Quran Masjid Kampung Sungai Besar.
    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama semasa menyampaikan sumbangan derma sempena Hari Raya kepada salah seorang penerima.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda