3 atlet renang sahut cabaran di Budapest

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JUN – Perenang kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Christian Nikles, Awang Nur Haziq bin Samil dan Hayley Wong berlepas ke Budapest, Hungary pada hari ini untuk mengambil bahagian dalam Kejohanan Dunia FINA ke-19.

Turut menyertai perenang-perenang kebangsaan itu ialah jurulatih kebangsaan, Wu Na. Mereka akan membuat penampilan pertama mereka di pentas antarabangsa pada tahun ini dalam acara berprestij sukan renang. Acara yang diadakan oleh Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) itu akan menjadi acara penting untuk Hayley Wong sejak menyertai barisan kebangsaan.

Perenang berusia 14 tahun itu adalah salah seorang daripada atlet terbaik dalam negara, terutamanya setelah dia menewaskan rekod Nuralia Abdul Rahim dalam acara kuak dada 200m.

Wong, ahli termuda dalam pasukan tersebut, sebelum ini pernah menyertai pertandingan luar negara termasuk di Kuching, Sibu dan Singapura. Sementara itu, kejohanan kali ini akan menjadi penampilan pertama Nikles di peringkat dunia sejak menyertai Kejohanan Renang Dunia FINA ke-15 dalam acara 25m di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Awang Nur Haziq, atlet renang yang menerima biasiswa FINA dan menetap di Thanyapura bagi menjalani pelbagai latihan serta pertandingan, akan membuat penampilan pertamanya di peringkat dunia di tahap senior.

Dia mewakili negara sebelum ini dalam Sukan Olimpik Belia di Buenos Aires, Argentina pada 2018 dan setahun kemudian, mengambil bahagian dalam Sukan Asia Tenggara (SEA) ke-30 di Manila, Filipina. Selain itu, perenang kebangsaan itu juga sebelumnya pernah mengambil bahagian dalam Kejohanan Renang Junior Dunia ke-7 di Budapest pada Ogos 2019. Pemegang rekod kebangsaan acara gaya bebas 400m itu mengintai untuk mengatasi rekod dua minit dalam acara 200m, yang akan memberikannya rekod kebangsaan baharu.

Hayley akan bertanding dalam kategori wanita acara Individual Medley (IM) 200m pada 18 Jun dan acara gaya kupu-kupu 200m pula pada 21 Jun.

Sementara itu, Awang Nur Haziq akan berpeluang mencatat rekod kebangsaan untuk dua acara iaitu gaya bebas 400m dan 200m pada 18 dan 19 Jun.

Begitu juga dengan Nikles, dia berpeluang mencatat rekod kebangsaan dalam kategori lelaki acara 100m dan 50m, yang dijadualkan berlangsung pada 21 dan 23 Jun nanti.

Perenang-perenang kebangsaan bersama jurulatih mereka serta ahli keluarga semasa sesi bergambar ramai di ruang legar Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei sebelum berlepas ke Budapest. – Gambar serahan BASA