Tuesday, May 13, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    3 didakwa bersubahat bekal tepung tamat tempoh

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MAC – Tiga warga Malaysia telah dihadapkan di Mahkamah Majistret hari ini, untuk menghadapi 45 pertuduhan bersubahat menipu Hyatt Borneo Management Services (HBMS), sebuah syarikat penyedia perkhidmatan yang berpangkalan di Istana Nurul Iman.

    Pertuduhan-pertuduhan berkenaan, yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibacakan bersama kanun 109 yang sama, adalah hasil siasatan yang dijalankan oleh Biro Mencegah Rasuah (BMR).

    Dalam dapatan mereka, Perusahaan Ala Haji Bolhassan, pembekal lama kepada HBMS telah membekalkan tepung jenama DAWN yang tamat tempoh kepada HBMS.

    Tepung berkenaan didakwa merupakan lebihan daripada tempahan yang dibuat oleh Perusahaan Ala Haji Bolhassan semasa pandemik COVID dan tidak terjual sehingga mencapai tarikh luputnya.

    Selepas wabak berakhir dan sekatan ditarik balik, syarikat itu terus menjual tepung yang telah tamat tempoh, termasuk kepada HBMS.

    BMR telah melancarkan operasi pada Jun tahun lalu di mana mereka menahan Pengurus Besar Perusahaan Ala Haji Bolhassan, Sam Ying Kok, 51; Cef Pastri HBMS, Iskak bin Rahmat, 56; dan Pengurus Bahan HBMS, Abdul Sani bin Abdul Mutalib, 56.

    Pertuduhan itu seterusnya menyatakan, Sam telah bersekongkol dengan Iskak dan Abdul Sani untuk menipu HBMS untuk mempercayai bahawa tepung berkenaan yang dibekalkan dan dihantar oleh Perusahaan Ala Haji Bolhassan antara 1 Februari 2021 hingga 1 Mac 2022 tidak luput sedangkan sebenarnya tepung itu telah tamat tempoh.

    Dengan penipuan sedemikian, HBMS telah didorong secara tidak jujur untuk memesan dan kemudiannya membuat pembayaran berjumlah $25,780.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga defendan dan Majistret Kanan Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman menangguhkan kes sehingga 13 April.

    Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Dayangku Didi-Nuraza binti Pengiran Abdul Latiff dan Peguam Bela Ang Swee Kiang dari Messrs Yu & Chiew mewakili Sam dan Iskak, manakala itu, Abd Sani belum melantik peguam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda