Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OGOS – Kecekapan anggota bomba dan penyelamat telah berjaya memadamkan kebakaran kawasan belukar seluas kira-kira 3 hektar atau bersamaan dengan satu padang bola di Pertanian Kampung Perdayan Jalan Labu, Temburong pada 13 Ogos lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, enam orang anggota dengan sebuah jentera dari Balai Bomba Bangar yang diketuai oleh ASO Lain anak Asun telah dikerahkan ke tempat kejadian pada pukul 3:10 petang.
Apabila tiba di tempat panggilan, anggota bomba dan penyelamat mendapati
kebakaran besar di kawasan belukar dengan anggota bomba mengambil masa hampir dua jam memadamkan kebakaran berkenaan menggunakan dua jet dan dua snap tank.
Hadir di tempat kejadian ialah Pegawai Pemerintah Operasi G, SSFR Haji Afiq bin Haji Julah, Pegawai Operasi, SSFR Mohammad Zyakwan bin Awang Idris dan Pemangku Timbalan Pemerintah Operasi G, SO Jamaludin bin Ahmad.
Demi keselamatan, JBP menyarankan orang ramai supaya memastikan sekurang-kurangnya 50 meter jarak keselamatan kebakaran atau fire break rumah dari pokok atau hutan dan jangan membuat pembakaran terbuka.