COX’S BAZAR, BANGLADESH, 4 OKT – Tiga maut manakala hampir 20 lagi hilang selepas bot yang membawa kebanyakannya pelarian Rohingya, terbalik di Teluk Benggala di luar pantai daerah Cox’s Bazar, Bangladesh pagi ini.
Bot nelayan itu dipercayai bertolak sejak subuh dan menuju ke perairan Malaysia sebelum berdepan masalah ketika menghampiri Teluk Benggala, mendorong dua bot penyelamat bergegas mencari mangsa terselamat.
“Kami sudah menemui tiga mayat terdampar di pantai Halbunia.”
Mereka adalah tiga wanita muda Rohingya berusia di antara 18 dan 20 tahun,” kata Pegawal Pantai Bangladesh Lt Komander Ashiq Ahmed, kepada Xinhua.
“Kami dimaklumkan bot yang membawa kira-kira 65 orang itu berlepas dari Teknaf kira-kira 5 pagi waktu tempatan,” katanya.
Beliau berkata bot berkenaan karam di luar pantai Bangladesh disebabkan laut bergelora.
Menurutnya lagi, 45 orang, termasuk empat warga Bangladesh dan 41 pelarian Rohingya berjaya diselamatkan.
Operasi mencari dan menyelamat sedang mengesan 20 lagi penumpang yang hilang, katanya.
Hampir satu juta Rohingya dari negeri Rakhine di Myanmar kini tinggal di khemah-khemah di daerah Cox’s Bazar dan mereka sering cuba menyeludup keluar. – Bernama/AFP

Teknaf kelmarin. – AFP