Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    3 maut, kapal tangki meletup di Thailand

    BANGKOK, 17 JAN – Satu letupan kapal tangki minyak di wilayah tengah Thailand, Samut Songkhram telah membunuh tiga orang hari ini, menurut kenyataan jabatan marin di bawah Kementerian Pengangkutan.

    Letupan berlaku sekitar 9:15 pagi waktu tempatan apabila kapal tangki itu berlabuh di limbungan Sungai Mae Klong, daerah Muang sebelum meletup dan mencetuskan kebakaran.

    Identiti mangsa-mangsa belum disahkan, namun api telah berjaya dibendung sepenuhnya dan para penyelamat meningkatkan usaha mencari mereka yang cedera dan hilang, Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan, Sorapong Paitoonpong memberitahu semasa sidang media.

    Sekurang-kurangnya 10 orang yang lain cedera dalam insiden tersebut, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh jabatan marin.

    Kapal tangki minyak tersebut, dengan kapasiti berat muatan 2,998 tan, sedang membawa 30,000 liter minyak bahan api apabila letupan berlaku, Sorapong berkata.

    Pihak berkuasa mengesyaki kapal tangki itu tidak dibersihkan dengan teliti dan bahan api tidak dikosongkan sebelum memasuki limbungan berkenaan, membawa kepada letupan.

    Siasatan terhadap insiden itu sedang dijalankan, dan dapatan awal akan diumumkan dalam masa 10 hari.

    Limbungan berkenaan telah diarahkan ditutup sementara. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...