Friday, April 19, 2024
30.4 C
Brunei

    -

    Populasi China susut kali pertama

    BEIJING, 17 JAN – Populasi China telah menyusut tahun lalu buat kali pertama dalam enam dekad, menurut data rasmi dikeluarkan hari ini, ketika kadar kelahiran terus menjunam di tengah-tengah tekanan kewangan dan peralihan sosial.

    Negara paling padat penduduk di dunia itu berdepan krisis demografi yang semakin meningkat ketika tenaga kerjanya semakin berusia dan penganalisis memberi amaran ia boleh memperlahankan pertumbuhan ekonomi serta menambah tekanan ke atas kewangan awam.

    Penganalisis menjelaskan bahawa kos sara hidup yang semakin tinggi – selain jumlah wanita yang semakin ramai dalam tenaga kerja dan pendidikan tinggi – sebagai punca di sebalik penyusutan.

    “Siapa berani mempunyai anak?” Soal seorang penduduk Shanghai berusia dalam 30an. “Kadar pengangguran juga tinggi, COVID memusnahkan segalanya dan tiada apa yang dapat kami lakukan. Tahun depan, kita mungkin akan mencatatkan unjuran pertumbuhan rendah lagi,” tambahnya.

    Populasi tanah besar China kini adalah seramai 1,411,750,000 pada penghujung 2022, lapor Biro Statistik Kebangsaan (NBS) China, satu pengurangan sebanyak 850,000 berbanding tahun sebelumnya.

    Jumlah kelahiran pula 9.56 juta, manakala jumlah kematian pada 10.41 juta, kata NBS.

    Kali terakhir populasi China menyusut adalah pada awal 1960an, semasa negara itu bergelut menangani kebuluran terburuk dalam sejarah moden, akibat dasar pertanian membinasakan Mao Zedong yang dikenali sebagai Kemaraan Raksasa Republik Rakyat China.

    China mengakhiri dasar ketat satu anak – dilaksanakan pada 1980an kerana kebimbangan terlebih populasi pada 2016 dan mula membenarkan pasangan mempunyai tiga anak pada 2021. Namun ia gagal menterbalikkan penyusutan demografi bagi sebuah negara yang sudah lama bergantung dengan tenaga kerjanya yang ramai sebagai pemacu pertumbuhan ekonominya.

    “Trend populasi kemungkinan akan menurun bermula sekarang hingga tahun-tahun akan datang,” kata Zhiwei Zhang dari Pinpoint Asset Management. “China tidak boleh bergantung hanya kepada kelebihan demografi sebagai pemacu penstrukturan bagi pertumbuhan ekonominya. Pertumbuhan ekonomi perlu bergantung lebih kepada pertumbuhan produktiviti yang dipacu oleh dasar kerajaan,” tambahnya. – AFP

    Gambar fail seorang kanak-kanak didukung oleh seorang lelaki ketika mereka berjalan di kawasan yang terkenal dengan pelancongan di Beijing. China mengumumkan buat pertama kalinya kadar populasinya menyusut dalam tempoh 60 tahun. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...