Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    3 syarikat serah zakat bernilai lebih $4 juta

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 APRIL – Sejumlah $4,280,246.24 wang zakat telah diserahkan oleh tiga buah syarikat kepada Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) pada majlis yang diadakan di Bilik Dhiyafah, Bangunan Tambahan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Jalan Dewan Majlis, hari ini.

    Kesemua zakat tersebut diserahkan kepada Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Yang Di-Pertua MUIB.

    Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (Perbadanan TAIB) menyerahkan wang zakat simpanan pelanggan berjumlah $4,177,333.34 yang disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB.

    Wang zakat tersebut adalah daripada akaun pelanggan-pelanggan yang telah memberi kebenaran kepada Perbadanan TAIB untuk memotong sebahagian daripada akaun simpanan mereka dari Januari hingga Disember 2022 lalu, menurut garis pandu syariah.

    Sementara itu, Koperasi Persatuan Tiba (KOTIBA) menyerahkan zakat perniagaan berjumlah $62,550.90 yang disampaikan oleh Timbalan Pengerusi Koperasi TIBA, Hajah Normah binti Haji Ibrahim.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi menyerahkan wang zakat Perbadanan TAIB kepada Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin pada majlis di Bilik Dhiyafah, KHEU, kelmarin.
    ATAS & BAWAH: Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menerima cek daripada KOTIBA (atas) dan MURABAHA.

    Syarikat Muraqabah Hartanah Haji Ahmad bin Haji Bakar (MURABAHA) pula menyerahkan zakat perniagaan berjumlah $40,362 yang diserahkan oleh Timbalan Pengerusi, Haji Roslan bin Dato Paduka Haji Yaakub.

    Pada 2021, MUIB telah mengutip sejumlah $18,894,594.76 manakala pada 2022 sejumlah $21,910,607.48 telah berhasil dikutip.

    Setiap tahun, MUIB mengagihkan kutipan zakat melalui skim-skim agihan seperti agihan wang tunai bulanan, agihan keperluan asasi, persekolahan, elaun bulanan untuk pelajar institut pengajian tinggi, sewa rumah, penanggung hutang (Al-Gharimin), rawatan perubatan, modal berusaha, skim PROPAZ-PPB dan PROPAZ-Perantis.

    Pada 2021, seramai 13,460 orang telah menerima zakat masing-masing dan pada 2022 seramai 11,248 orang menerima agihan zakat.

    Pada 2021, sejumlah $37,766,000 wang zakat telah diagihkan kepada para penerima dan pada 2022 pula sejumlah $33,710,000 wang zakat telah diagihkan.

    Untuk tahun ini, wang zakat yang diperuntukkan bagi diagihkan kepada para penerima adalah dianggarkan berjumlah $32,272,800.

    Umat Islam di negara ini diseru untuk menunaikan kewajipan bagi menunaikan zakat harta masing-masing apabila telah sampai nisab dan haulnya.

    Selain sebagai memenuhi tanggungjawab menyelesaikan kewajipan, ia juga sebagai suatu tanggungjawab sosial dalam sama-sama membantu golongan yang memerlukan khususnya asnaf zakat yang paling tinggi di negara ini iaitu asnaf fakir dan miskin.

    Hadir menyaksikan penyerahan wang zakat berkenaan ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Muhammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan selaku Naib Yang Di-Pertua MUIB dan timbalan pengerusi Perbadanan TAIB, pemangku setiausaha MUIB yang juga selaku ahli Jawatankuasa Penasihat Syariah Perbadanan TAIB, Pengarah Urusan Perbadanan TAIB, ahli-ahli Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB serta pegawai-pegawai kanan KHEU dan Perbadanan TAIB.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda