Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 APRIL – Seramai 30 orang anak yatim di Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Panchor, hari ini, diceriakan dengan aktiviti perkhidmatan menggunting rambut buat kali ketiga sempena bulan Ramadan dan sebagai persediaan menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri yang hanya tinggal beberapa hari saja lagi.
Aktiviti anjuran Komuniti Sukarelawan RPN Kampung Panchor itu dilaksanakan bersama kedai-kedai gunting, Jambang Barbershop, Greazymunkey Barbershop dan Skye Barbershop yang diadakan di kediaman pengerusi program di Jalan Tanjung Selasih, RPN Kampung Panchor, Mengkubau.
Selain menceriakan anak-anak yatim, perkhidmatan secara percuma itu juga secara tidak langsung dapat mengurangkan beban keluarga anak yatim dalam membuat persediaan menyambut Aidilfitri sekali gus dapat memupuk kasih sayang dan menggembirakan golongan berkenaan.
Ketika temu bual media bersama pengerusi program tersebut, Haji Hairul Azri bin Haji Salamat menjelaskan aktiviti amal itu dapat mengeratkan perpaduan bersama keluarga anak-anak yatim di RPN Kampung Panchor, Mengkubau dan secara tidak langsung berkongsi kasih bersama mereka yang sudah lagi tidak mempunyai ayah.
Manakala salah seorang ibu anak yatim, Hajah Siti Musrifah binti Haji Ahmad pula melahirkan rasa syukur atas program amal yang dianjurkan itu kerana ia dapat membantu beliau terutama dari segi masa memandangkan beliau belum ada kesempatan untuk membawa anak-anak menggunting rambut kerana sibuk bertugas.
Aktiviti amal itu dikendalikan buat kali ketiga di mana pada kali yang pertama dan kedua diadakan bersempena persediaan kembali ke sekolah.
Di samping itu, Komuniti Sukarelawan Mengkubau juga melaksanakan program sedekah Ramadan dengan memberikan barangan asasi kepada keluarga anak-anak yatim dan telah disampaikan oleh Pemangku Penghulu Mukim Mentiri, Pengiran Haji Ismail bin Pengiran Haji Ibrahim.
Program itu adalah pemedulian daripada penduduk RPN Kampung Panchor, Mengkubau dan beberapa syarikat yang turut memberikan sumbangan untuk meringankan beban keluarga anak-anak yatim.
