Oleh Ak Zaki Kasharan
TUTONG, 22 JULAI – Negara Brunei Darussalam tidak terkecuali menyertai Kempen Julai Bebas Plastik, satu pergerakan masyarakat global yang mula diperkenalkan pada 2011 oleh Plastic Free Foundation.
Ia menjadi wadah bagi penglibatan orang ramai untuk ikut serta dalam meningkatkan kesedaran mengenai pencemaran plastik dan mengambil tindakan untuk menolak plastik sekali guna di samping mencari alternatif dan memulakan tabiat yang lebih mesra alam.
Sempena Kempen Julai Bebas Plastik itu, Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) telah memberigakan dan melaratkan lagi Inisiatif Setiap Hari Tanpa Beg Plastik ke gerai-gerai dengan kerjasama Big BWN Project.
Kempen yang dimulakan hari ini di Kompleks Pasarneka dan Tamu Tutong itu turut disokong oleh Jabatan Bandaran Tutong, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Datastream Digital Sdn Bhd (DST). Hadir selaku tetamu kehormat pada kempen berkenaan ialah Pemangku Pengarah JASTRe, Dayang Martinah binti Haji Tamit.
Kempen dimulakan dengan penyerahan poster Inisiatif Setiap Hari Tanpa Beg Plastik kepada Pengerusi Lembaga Bandaran Tutong, Haji Azmi bin Haji Abdul Rahim diikuti dengan pengagihan beg-beg guna semula kepada pelanggan dan pengunjung Kompleks Pasarneka dan Tamu Tutong. Sebanyak 300 beg guna semula telah diagihkan, termasuk yang disumbangkan oleh DST.
Inisiatif melaratkan Setiap Hari tanpa Beg Plastik ke kedai runcit, restoran dan gerai-gerai itu telah diumumkan semasa sambutan Hari Bumi pada 22 April lalu, yang akan dilaksanakan secara berperingkat. Bulan Julai Bebas Plastik adalah satu pergerakan global yang menggalakkan setiap organisasi dan individu untuk memulakan atau membuat perubahan kecil yang akan menghasilkan impak yang besar kepada masyarakat dan alam sekitar.
Objektif utama kempen bebas plastik itu adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa ada alternatif kepada penggunaan plastik sekali guna dan dalam masa yang sama mendorong penggunaan barang yang boleh diguna semula seperti beg guna semula, botol guna semula atau tumblers dan sebagainya.
