Oleh Yusrin Junaidi
TEMBURONG, 3 MAC – Lebih 300 orang telah menghadiri Wira Fajar Program Belia Sembahyang Fardu Subuh Berjemaah di Masjid bagi tahun 2023 yang merupakan salah satu acara dalam Program Semarak Hari Kebangsaan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan ke-39, hari ini.
Diadakan di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, acara itu dihadiri oleh pegawai dan kakitangan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan jabatan-jabatan di bawahnya, ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid, pegawai-pegawai kerajaan, ahli-ahli persatuan dan pergerakan belia, belia-belia masjid serta penduduk sekitar Pekan Bangar.
Hadir pada program anjuran KKBS dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) itu ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Program diisikan dengan Sembahyang Fardu Subuh berjemaah yang diimamkan oleh Awang Muhammad Nursyazwi Zawawi bin Shahri dari Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan diikuti dengan tazkirah subuh bertajuk ‘Menjayakan Wawasan Negara’ yang disampaikan oleh Ketua Unit Dakwah Daerah Temburong, Haji Hazimin bin Haji Metali.
Wira Fajar diselajurkan dengan bacaan Surah Al-Kahfi dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dipimpin oleh Awang Muhammad Noor Syahmi bin Mazne dari KUPU SB dan diakhiri dengan sembahyang Sunat Duha.
Program berkenaan dihas-ratkan dapat mendidik para belia untuk mengerjakan sembahyang berjemaah di masjid serta memberikan pendedahan kepada para belia dengan mengisi aktiviti yang bermanfaat terutama sekali dalam mengadakan aktiviti-aktiviti keagamaan di masjid-masjid.
Hadir sama ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Sulaiman bin Haji Nasir selaku Ketua Kampung Labu Estet dan Piasau-Piasau; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Setiausaha Tetap (Kesukanan) di KKBS, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud; Setiausaha Tetap (Kebudayaan) di KKBS, Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan; Setiausaha Tetap (Kebeliaan) di KKBS, Haji Zakaria bin Haji Serudin; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang; Pegawai Daerah Temburong, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim, serta pegawai-pegawai kanan KKBS.