Oleh Sim Y. H.
TUTONG, 17 JUN – Setelah mengharungi tempoh latihan asas ketenteraan selama enam bulan yang penuh mencabar, hari ini merupakan hari penuh bermakna bagi seramai 300 orang rekrut lelaki pengambilan ke-168 apabila mereka diraikan dalam Upacara Perbarisan Tamat Latihan Bagi Rekrut Lelaki Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) Pengambilan ke-168 di Padang Kawad Institut Latihan ABDB, Penanjong Garison.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menerima tabik hormat pada upacara itu ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin.
Turut hadir ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Seri Pahlawan Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan, pemerintah-pemerintah angkatan tentera dan pemerintah angkatan bersama ABDB, para pengarah, komandan, pegawai kanan, pegawai dan anggota ABDB, ibu bapa dan penjaga serta keluarga anggota rekrut.
Upacara dimulakan dengan perbarisan masuk rekrut yang tamat latihan ke padang kawad yang diiringi oleh Pancaragam ABDB, diikuti dengan ketibaan pemerintah-pemerintah angkatan tentera dan pemerintah angkatan bersama yang menerima hormat panglima.
Upacara diteruskan dengan ketibaan pemerintah ABDB yang menerima hormat panglima dan diikuti oleh ketibaan Haji Maswadi yang menerima tabik hormat serta dialu-alukan untuk memeriksa perbarisan.
Kemudian perbarisan berjalan lalu dalam masa perlahan dan cepat serta perbarisan mara ke hadapan untuk diperhati semula.
Haji Maswadi seterusnya menyampaikan ucapan dan menyempurnakan anugerah kepada rekrut-rekrut terbaik dan jurulatih-jurulatih yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam kategori-kategori tertentu di sepanjang latihan dijalankan.
Para penerima anugerah ialah 54367 Rekrut (U) Muhammad Hanif Farhan bin Azman yang menerima Anugerah Rekrut Terbaik Keseluruhan; 54349 Rekrut (U) Muhammad
Nasruddin bin Nordin menerima Anugerah Kemahiran Tentera Terbaik; 54281 Rekrut Mohammad Haffizul Rapaie bin Rapari menerima Anugerah Rekrut Terbaik Senjata Ringan dan 54280 Rekrut Muhd Anwar Arib bin Aminul Amri menerima Anugerah Latihan Jasmani Terbaik.
Sementara itu, penerima Anugerah Ketua Seksyen Terbaik ialah 17247 Koperal Eldy bin Saini dan Platun Sarjan Terbaik ialah 17731 Sarjan (U) Mohammad Ismasahril bin Haji Ismail.
