KOTA KINABALU, 4 OKT – Lebih 3,000 pegawai dan anggota daripada 24 agensi kini bersiap siaga untuk dikerahkan sekiranya berlaku banjir di negeri ini, kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun.
Katanya antara agensi terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Meteorologi, Jabatan Kebajikan, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selain badan bukan kerajaan (NGO). Beliau berkata sebanyak 1,401 aset daripada pelbagai agensi turut diletakkan dalam keadaan bersiap sedia bagi menghadapi banjir.
“Menerusi persediaan awal ini, kita yakin akan mampu melakukan yang terbaik dalam membantu mangsa-mangsa sekiranya berlaku bencana banjir akibat monsun (Monsun Timur Laut) berkenaan,” katanya di sini hari ini. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Penyelarasan Menghadapi Bencana Banjir Peringkat Negeri Sabah di Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah.
Jauteh berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Monsun Timur Laut (MTL) Sabah sudah mengenal pasti 626 kawasan hotspot daripada 29 daerah berpotensi dilanda banjir. – Bernama
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2022/10/P10-B_05102022.jpg)