31 premis di Batu Bersurat didapati belum mohon Sijil Halal

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar serahan KHEU

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JUN – Sebanyak 31 buah premis daripada 59 premis makanan yang diperiksa dalam operasi rondaan besar-besaran yang dijalankan Bahagian Kawalan Makanan Halal (BKMH), Jabatan Hal Ehwal Syariah baru-baru ini, telah didapati belum membuat permohonan Sijil Halal.

Dalam operasi yang tertumpu di kawasan Batu Bersurat, Bandar Seri Begawan dan sekitarnya itu, beberapa buah premis didapati melakukan kesalahan lain iaitu tiga buah premis menggunakan label atau logo Halal Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) tanpa kebenaran dan enam buah premis mempamerkan Sijil Halal yang telah mansuh.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, premis-premis berkenaan telah dikeluarkan notis dan diarahkan menurunkan serta merta Sijil Halal yang mansuh dan Label Halal yang tidak mendapat kebenaran.

Kegagalan mematuhi akan diambil tindakan undang-undang di bawah Bab 12 (3) (a) dan Bab 35, Perintah Sijil Halal dan Label Halal, 2005 yang masing-masing melibatkan hukuman denda sehingga $4,000 dan $8,000 atau penjara sehingga satu tahun dan dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Rondaan bertujuan menguatkuasakan peruntukan Bab 4 (1) dan Bab 10 (1) (a), Perintah Sijil Halal dan Label Halal, 2005 mengenai kewajipan memohon Sijil Halal atau Permit Halal MUIB yang dikenakan ke atas pengusaha-pengusaha makanan di negara ini.

Salah sebuah premis yang diperiksa semasa operasi rondaan BKMH di kawasan Batu Bersurat.

Operasi rondaan dijalankan di seluruh negara secara berperingkat di mana sebelum ini telah diadakan di kawasan Batu Satu, pusat bandar, Kiulap dan Gadong.

Sehubungan itu, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) menegaskan permohonan untuk mendapatkan Sijil Halal atau Permit Halal bagi perniagaan makanan yang beroperasi di negara ini adalah mandatori.

Jabatan itu juga menyeru kepada semua pengusaha makanan di negara ini yang belum mempunyai Sijil Halal atau Permit Halal untuk menghadapkan permohonan dengan segera.

Bagi pemegang Sijil Halal dan Permit Halal, diingatkan supaya sentiasa memastikan Sijil Halal dan Permit Halal masih sah dan hendaklah menghadapkan permohonan untuk pembaharuan sijil dalam tempoh tiga bulan sebelum tarikh mansuh.

Untuk menjaga kemaslahatan masyarakat Islam di negara ini, pegawai-pegawai penguat kuasa BKMH, Jabatan Hal Ehwal Syariah akan sentiasa menjalankan operasi pemantauan dari semasa ke semasa untuk memastikan tiada pelanggaran dibuat terhadap peruntukan undang-undang, kehendak dan syarat pensijilan halal yang berkuat kuasa di negara ini.