YOGYAKARTA, INDONESIA, 4 JULAI – Puluhan pesakit koronavirus meninggal dunia selepas hospital awam di pulau Jawa, Indonesia kehabisan cecair oksigen di tengah-tengah peningkatan kes COVID-19 di negara itu, kata pegawai hospital hari ini.
Kira-kira 33 pesakit dengan jangkitan koronavirus teruk meninggal dunia selepas bekalan cecair oksigen perubatan kehabisan lewat kelmarin di Hospital Awam Dr Sardjito di bandar Yogyakarta akibat penghantaran tertangguh daripada para pembekal pada hujung minggu, kata jurucakap hospital, Banu Hermawan.
Kekurangan oksigen di hospital terbesar bandar itu akibat peningkatan pesakit yang tiba dalam keadaan yang sudah teruk, kata Hermawan.
Kira-kira 63 pesakit virus meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital sejak Sabtu – 33 daripadanya semasa ketika bekalan cecair oksigen kehabisan – walaupun hospital telah menukarkannya kepada oksigen silinder semasa kekurangan tersebut, katanya.
Oksigen perubatan didatangkan dalam bentuk mampat dan cecair.
“Keadaan mereka yang semakin teruk telah menyumbang kepada kebanyakan kematian,” kata Hermawan.
Bekalan oksigen pusat hospital itu beroperasi semula pada jam 4:45 pagi hari ini selepas 15 tan oksigen cecair telah dihantar.
Hospital telah meminta pihak berkuasa kesihatan untuk membantu kekurangan oksigen termasuk meminta bekalan oksigen dari hospital lain ketika bekalan cecair oksigen merosot kepada tahap kritikal lewat kelmarin, katanya.
Hermawan berkata hospital beralih kepada oksigen silinder termasuk 100 silinder yang didermakan oleh polis serantau Yogyakarta. – AP
