Tuesday, April 22, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    36 maut tanah runtuh di India

    MUMBAI, 23 JULAI – Seramai 36 orang maut dalam tanah runtuh akibat hujan monsun di barat India, kata pihak berkuasa hari ini.

    Sehingga 40 orang lagi hilang selepas tiga tanah runtuh berasingan berlaku pada malam kelmarin di daerah Raigad, negeri Maharashtra, selatan ibu kota kewangan Mumbai, India.

    “Sekurang-kurangnya 35 sehingga 40 orang terperangkap, kami cuba menyelamatkan mereka,” kata pegawai tempatan.

    Di tempat lain di negeri itu, sehingga 15 orang juga dilaporkan hilang. Tentera Laut dan Udara berganding bahu dalam usaha-usaha menyelamat selepas hujan lebat mengakibatkan banjir, membuatkan ribuan terkandas, namun operasi menyelamat itu dihambat tanah runtuh yang menyekat jalan, termasuk di lebuh raya utama antara Mumbai dan Goa.

    Paras air meningkat sehingga 3.5 peratus di kawasan Chiplun, sebuah bandar kira-kira 250km dari Mumbai, susulan 24 jam hujan tanpa henti yang mengakibatkan sungai Vashisti melimpahi tebing, menenggelamkan jalan dan rumah-rumah.

    Tentera Laut India mengerahkan tujuh pasukan menyelamat dilengkapi dengan bot getah, jaket keselamatan dan pelampung ke kawasan terjejas, bersama dengan pakar penyelam dan sebuah helikopter untuk menyelamatkan penduduk terkandas.

    Dalam pada itu, tanah runtuh di bandar kejiranan, Khed telah mencederakan 10 orang, menurut satu kenyataan media dikeluarkan kerajaan negeri. Sekitar ’10 hingga 15 lagi yang lain kemungkinan terperangkap di bawah runtuhan’ menurut kenyataan itu.

    Jabatan meteorologi India turut mengeluarkan amaran merah kepada beberapa kawasan di negeri itu, memaklumkan bahawa hujan lebat akan terus melanda dalam masa beberapa hari akan datang. – AFP

    Gambar serahan Angkatan Tindak Balas Bencana India (NDRF) menunjukkan anggotanya menyelamatkan orang yang terkandas dalam banjir di Bhiwandi, negeri barat Maharashtra. Tanah runtuh akibat hujan monsun lebat melanda bahagian barat India, meragut sekurang-kurangnya 36 jiwa. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda