Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Daniel Lim
KUALA BELAIT, 3 MEI – Seramai 36 pelajar telah terpilih untuk mengikuti program Certificate of Proficiency Apprenticeship (COP) Kelasi Dek dan Kelasi Enjin yang ditawarkan oleh Akademi Maritim Brunei (BMA) bagi sesi Mei 2023.
Seramai 460 orang telah memohon untuk mengikuti program Apprenticeship Rating yang ditawarkan oleh BMA dan hanya 100 pelajar telah terpilih dan menghadiri sesi temu duga.
Manakala seramai 36 orang pula layak dan ditawarkan untuk mengikuti program itu selama satu tahun.
Sehubungan itu, para pelajar baharu berkenaan dialu-alukan dalam minggu orientasi bermula hari ini hingga 6 Mei, yang antara lain bertujuan untuk membiasakan pelajar dengan persekitaran kampus dan mengenali rakan-rakan mereka sebelum memulakan pembelajaran pada minggu hadapan.
Sepanjang minggu orientasi itu, pelbagai aktiviti telah disusun antaranya taklimat yang berkaitan dengan kebajikan kampus, peraturan-peraturan, taklimat keselamatan dan sebagainya selain pelajar mengikuti aktiviti yang disediakan oleh ketua kumpulan dari Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Jefri Bolkiah.
Bagi program kali ini, tujuh buah industri perkapalan telah memberikan Conditional Offer of Employment yang menjanjikan pekerjaan bagi program Apprenticeship in Deck Rating dan Apprenticeship in Engine Rating.
Pengetua IBTE Satelit, Dr Suhaimi bin Haji Abdul Wahab dalam ucapan semasa sesi orientasi tersebut menasihatkan para pelajar yang terpilih agar tidak mensia-siakan peluang yang ada dan berharap para pelajar komited untuk menamatkan kursus Apprenticeship Rating ini sehingga mendapat lesen Certificate of Proficiency Rating forming Part.
“Minggu orientasi pelajar bertujuan untuk membiasakan para pelajar untuk mengenali kampus sebelum memulakan sesi pembelajaran yang akan bermula minggu hadapan.
“Dari orientasi ini, akan dapat meningkatkan motivasi diri pelajar, kualiti kepimpinan dan memberi kesedaran kepada para pelajar mengenai peraturan akademik dan peraturan kampus yang harus mereka patuhi.
“Dengan adanya majlis ini juga, para pelajar baharu diharap akan dapat mengeratkan hubungan silaturahim dengan warga kampus serta belajar erti kerja berpasukan,” tambahnya. Sebelum mengakhiri ucapan, beliau mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para pelajar yang berjaya mendapat tempat mengikuti program Apprenticeship in Deck Rating dan Apprenticeship in Engine Rating.
“Dalam masa yang sama, saya juga mendoakan yang terbaik buat pelajar-pelajar baharu sepanjang mengikuti kursus ini. Di kesempatan ini juga, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua.”