Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – Seramai 37 orang peserta kursus berdaftar sebagai penilai dan ejen hartanah telah berjaya menamatkan Kursus Amalan-amalan Hartanah Bahagian 1 dan 2 serta diraikan pada majlis yang berlangsung di Pusat Latihan dan Kemahiran Kerja, Kementerian Pembangunan, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan, Sijil Pencapaian dan Sijil Penyertaan kepada Penyampai Taklimat, Peserta Kursus dan Sukarelawan bagi kursus berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) dan Pengerusi Lembaga Penilai dan Ejen Hartanah (BoVEA), Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak yang turut menyempurnakan penyampaian sijil.
Pendaftar Penilai dan Ejen Hartanah, BoVEA, Pengiran Dr Harizan bin Pengiran Haji Piut dalam kata alu-aluannya menyatakan, kursus anjuran bersama BoVEA dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) dengan sokongan AVA Brunei Chapter diharap dapat menjadi sebagai wadah dalam meningkatkan ilmu pengetahuan dan keupayaan setiap penilai dan ejen hartanah berdaftar.
Di samping itu, ia dapat meningkatkan kredibiliti setiap penilai dan ejen hartanah dari sudut teknikal dan profesional sebanding dengan amalan terbaik bukan sahaja serantau malah antarabangsa.
Beliau menambah, menerusi kursus itu dan pada masa akan datang, ia dihasratkan dapat mendedahkan para penilai dan ejen hartanah berdaftar mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan berdasarkan kepada yang telah diperuntukkan dalam Perintah Penilai
dan Ejen Harta Tanah, 2019.
