Saturday, January 25, 2025
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    37 sertai Kursus Maktab Turus Sesi ke-14

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JAN – Seramai 37 orang pegawai mengikuti Kursus Maktab Turus Sesi ke-14 yang bermula hari ini dengan majlis pembukaan di Auditorium Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian kursus ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan.

    Turut hadir ialah Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr Hazri bin Haji Kifle, timbalan pesuruhjaya polis, pemangku timbalan pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (KDN), pemerintah-pemerintah angkatan tentera, ketua-ketua perwakilan negara luar ke Negara Brunei Darussalam, pegawai-pegawai kanan serta penasihat atau atase pertahanan ke Brunei.

    Sejurus perasmian, majlis diikuti dengan upacara mengibarkan bendera yang melambangkan kerjasama sangat baik antara negara-negara yang mengambil bahagian dalam kursus dan menekankan kepentingan bagi pelajar-pelajar kolej staf menjalin persahabatan yang kukuh sepanjang perjalanan pembelajaran mereka.

    Para peserta termasuk 16 orang pegawai dari ABDB, seorang pegawai dari Kementerian Pertahanan, seorang pegawai dari Pasukan Polis Diraja Brunei, seorang pegawai dari KDN dan 18 orang pegawai tentera antarabangsa dari 14 buah negara iaitu Republik Rakyat Bangladesh, Kemboja, Republik Indonesia, Jordan, Malaysia, New Zealand, Kesultanan Oman, Republik Islam Pakistan, Republik Filipina, Arab Saudi, Republik Singapura, Thailand, United Kingdom serta Amerika Syarikat.

    Kursus Maktab Turus Sesi 14/2024 merupakan kursus selama 40 minggu yang dikendalikan dengan kerjasama UBD bagi tahun keenam sebagai pembekal akademik utama.

    Ia bertujuan bagi memperluaskan pengetahuan profesional dan akademik ke arah persekitaran strategik kontemporari dan kesannya terhadap tugasan mereka sebagai pakar di bidang pertahanan dan keselamatan.

    Di penghujung kursus itu, para peserta kursus yang berjaya akan dianugerahkan passed staff college (joint), psc (j), daripada pihak Akademi Pertahanan ABDB dan Graduate Diploma in Defence and Security Studies daripada pihak UBD dengan peluang bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat Master of Defence and Security Studies.

    Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi menghadiri Majlis Pembukaan bagi Kursus Maktab Turus Sesi ke-14 yang berlangsung di Auditorium Akademi Pertahanan ABDB, kelmarin. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PERTAHANAN
    Gambar ramai di Auditorium Akademi Pertahanan ABDB. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PERTAHANAN
    Peserta kursus menyempurnakan pengibaran bendera-bendera negara yang mengambil bahagian dalam kursus berkenaan. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PERTAHANAN

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda